Monday, January 28, 2013

Pekan Rabu buka peluang peniaga desa

SEREMBAN 26 Jan. - Sebuah konsep perniagaan bercirikan 'Pekan Rabu' akan diperkenalkan di Ampangan dekat sini sebaik sahaja bangunan baharu Pusat Penjaja Ampangan bernilai RM8.9 juta siap pertengahan tahun depan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130127/ws_01/Pekan-Rabu-buka-peluang-peniaga-desa
Published: January 28, 2013

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konsep itu akan dibincangkan dengan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) supaya bangunan sementara yang kini menempatkan gerai makan itu digunakan pula untuk perniagaan harian bagi menjual produk kampung.

"Ketika ini bangunan lama pusat penjaja dan peniaga di Ampangan sudah dirobohkan untuk pembinaan bangunan baharu berkonsepkan Istana Lama Seri Menanti.

''Peniaga terutama yang menjual makanan dipindahkan ke bangunan sementara di tapak pasar malam dekat situ sehingga bangunan ini siap kelak," katanya di sini hari ini.

Maka katanya, adalah tidak praktikal bangunan sementara yang dibina dengan segala kemudahan yang ada dirobohkan apabila bangunan baharu itu siap dan untuk memberi nilai tambah kepada kawasan Ampangan, ia akan dijadikan 'Pekan Rabu' untuk membuka peluang lebih ramai peniaga kecil menjalankan perniagaan di situ.

''Apabila semuanya siap kelak, peniaga kecil yang membawa sayur kampung, ayam, belimbing dan ulam boleh datang ke situ dan berniaga sehari dengan membayar kos kecil di pejabat yang akan dicadangkan nanti.

''Saya percaya, MPS tidak mempunyai masalah terhadap konsep yang dicadangkan kerana ia membuka peluang kepada masyarakat desa menjual produk kampung, yang ketika ini sukar untuk diperoleh di pasar moden," katanya.

Bagi bangunan baru itu kelak, peniaga yang menjalankan perniagaan di bangunan sementara tersebut akan berpindah ke situ dan di dalamnya menempatkan 60 lot kedai dengan kemudahan 600 tempat duduk berbanding bangunan lama yang menempatkan 40 gerai dan kurang daripada 500 tempat duduk.

''Bangunan sementara ini kita bina dengan menyediakan pelbagai kemudahan supaya peniaga dapat menjalankan perniagaan seperti biasa dan ia sebenarnya amat baik dalam kategori bangunan sementara," katanya.

No comments:

Post a Comment