Wednesday, January 30, 2013

Peserta Azam Tani Fama Jana Hasil RM3,000 Sebulan Jual Ais Krim Putar

KUALA LANGAT, 29 Jan (Bernama) -- Bagi bekas pemandu teksi, Tasripin Mohd Tohir program Projek Azam Tani yang diperkenalkan kerajaan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ternyata membantu mengubah nasib keluarganya menjalani kehidupan yang lebih selesa dengan pendapatan yang terjamin.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsgeneral.php?id=924593
Published: January 30, 2013

Tasripin, 44, yang mula menjalankan perniagaan menjual makanan di sebuah gerai yang dibina sendiri di hadapan Sekolah Rendah Kebangsaan Olak Lempit di sini bagi menyara isteri dan lima anaknya yang masih bersekolah, dipilih menyertai program itu pada 2009.

Beliau mula berniaga sejak 10 tahun lepas, sebelum membuat keputusan berniaga secara tetap di gerai hadapan sekolah berkenaan pada 2008 dengan dibantu isterinya, Wangiah Tarsun, 44, dengan menjual makanan seperti keropok lekor, pelbagai jenis bebola dan aneka perisa air.

"Selepas dipilih menjadi peserta Azam Tani oleh Fama, saya mula berfikir apakah makanan yang sesuai untuk ditambah di gerai saya. Akhirnya saya dan isteri bersetuju untuk menjual ais krim putar dan menerima bantuan mesin ais krim daripada Fama sejak September lepas," katanya kepada Bernama di sini.

Tasripin berkata perniagaan ais krim putar itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang majoritinya adalah kanak-kanak sekolah.

Beliau berkata pendapatan kasarnya yang hanya sekitar RM80 hingga RM100 meningkat kepada RM150 sehari dan mencecah kira-kira RM3,000 sebulan selepas memulakan perniagaan ais krim putar itu.

Projek Azam Tani merupakan satu daripada empat komponen di bawah Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang diperkenalkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan mengubah nasib mereka, di mana peserta yang dipilih akan ditawarkan peluang memulakan perniagaan dengan modal awal RM10,000 seorang.

Bercerita lanjut, Tasripin berkata beliau bercadang memperluaskan perniagaannya membeli mesin membuat ais krim dengan kos dianggarkan RM3,000 serta menanam impian mengeluarkan ais krim jenamanya sendiri dan menjual kepada pasaran yang lebih luas.

"Buat masa sekarang, saya membeli cecair ais krim daripada jenama keluaran bumiputera dengan perisa vanila, coklat, strawberi dan campur. Selain itu, saya turut menerima tempahan ais krim putar ini untuk majlis khas seperti perkahwinan dan hari lahir dan pernah terima tempahan sehingga 1,000 unit sehari," katanya.

Beliau turut bercita-cita membeli van sendiri memandangkan van yang digunakan kini adalah pemberian seorang rakan dan berada dalam keadaan kurang memuaskan.

Bagi Tasripin, dalam perniagaan bukan keuntungan yang memberikan kepuasan menyeluruh tetapi hubungan mesra dengan pelanggan juga memainkan peranan penting.

Ketika tinjauan di gerainya, kata-kata beliau itu ternyata benar apabila Tasripin mengingati dan mengenali hampir kesemua nama kanak-kanak sekolah yang merupakan pelanggan tetapnya.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan dan Fama yang banyak membantu kami sekeluarga. Program ini sangat memberikan manfaat dan perlu diteruskan bagi membantu peniaga kecil untuk memajukan perniagaan mereka," katanya.

Sementara itu, Pengarah Fama Selangor Mansor Omar berkata berdasarkan rekod, 80 peratus daripada 53 peserta yang terbabit dalam projek itu pada 2009 berjaya menjana pendapatan lebih RM1,500 sebulan melalui perniagaan yang mereka jalankan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment