KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) --  Kementerian Perdagangan dalam Negeri,
 Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan 200 perniagaan baharu 
akan didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun ini. 
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=929426 
Published: February 22, 2013
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bentuk 
perniagaan yang dikenali sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT), 
masih memerlukan pendedahan yang luas bagi memastikan rakyat benar-benar
 memahami tentang polisi dan syarat-syarat yang ditetapkan SSM.
"Sehingga kini, 14 syarikat baharu telah mendaftar di bawah PLT, dan 
saya percaya, dengan faedah-faedah yang ditawarkan menerusi perniagaan 
ini, orang awam akan lebih cenderung untuk memilih PLT sebagai bentuk 
perniagaan mereka," katanya kepada media selepas pelancaran PLT di sini 
hari ini.
SSM mewujudkan PLT sebagai pilihan tambahan bagi rakyat menubuhkan 
perniagaan, selain syarikat, milikan tunggal atau firma perkongsian.
Bentuk perniagaan ini menggabungkan ciri-ciri sebuah syarikat dan sebuah
 firma perkongsian yang memberikan perlindungan status liabiliti terhad 
kepada pihak yang berkongsi dan keanjalan aturan perkongsian kepada 
urusan dalam perniagaannya.
Konsep PLT akan menyokong perniagaan baharu, perusahaan kecil dan 
sederhana (PKS) dan golongan profesional untuk berkembang tanpa perlu 
bimbang terhadap liabiliti dan asset peribadi dan keperluan pematuhan 
yang ketat.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ismail Sabri berharap keistimewaan dan 
manfaat PLT ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan di 
Malaysia dan dapat menjadikan negara ini sebuah pusat perniagaan yang 
kondusif dan dinamik di rantau ini.
"Risiko berkaitan perniagaan merupakan salah satu faktor penghalang 
untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan ini dapat dikurangkan
 melalui PLT kerana kerangka perundangannya dapat melindungi aset 
peribadi pekongsi perniagaan.
"Perundangan PLT juga mempunyai mekanisme perlindungan yang mencukupi 
untuk memastikan kepentingan pihak ketiga yang berurusan dengan PLT dan 
mereka yang berkongsi, turut dilindungi," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Mohd Naim Daruwish berkata 
objektif PLT ialah untuk mewujudkan suasana perniagaan yang lebih 
kondusif dan kompetitif di Malaysia dalam era globalisasi masa kini.
"Pengenalan PLT telah mengambil kira keperluan komuniti perniagaan di 
mana perundingan awam, rundingan dan perbincangan dengan pihak 
berkepentingan telah diadakan untuk mendapatkan maklum balas bagi 
melaksanakan perundangan baharu ini," katanya.
Pihak awam dibenarkan mendaftar perniagaan sebagai PLT ini bermula 5 Feb
 2013 melalui perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh SSM melalui
 portal MyLLP.
-- BERNAMA    
No comments:
Post a Comment