Sunday, February 24, 2013

Persatuan ditubuh lonjak pendapatan peniaga kecil Kulim

KULIM 22 Feb. - Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Kulim (PPPKK) dilancarkan bagi membantu golongan peniaga dalam pelbagai bidang. Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Mohd. Arpan Shari berkata, usaha tersebut adalah baik kerana boleh memupuk semangat kerjasama dan tolong-menolong sesama ahlinya.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130223/wu_03/Persatuan-ditubuh-lonjak-pendapatan-peniaga-kecil-Kulim
Published: February 24, 2013


MOHD. Arpan Shari (berdiri, tengah) bersama ahli dan jawatankuasa Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Kulim di pekarangan Pasar Besar Kulim, Kedah

"Persatuan boleh menjadi maju dan berjaya jika ahli jawatankuasa bersepakat dan sentiasa amanah terutama hal-hal berkaitan kewangan," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian persatuan itu, di sini semalam.

Pada majlis itu, beliau turut menyerah surat tawaran kepada hampir 20 orang peniaga untuk mendapat barangan tertentu bagi membesarkan lagi perniagaan masing-masing.

Pengerusi persatuan, Mohd. Faisal Abd. Aziz berkata, setakat ini hampir 100 orang telah mendaftar nama untuk menjadi ahli.

"Kerjasama pelbagai pihak bagi memberi sokongan terhadap persatuan ini amat dialu-alukan," katanya.

Menurutnya, mereka yang menjadi ahli persatuan ialah golongan yang menjalankan pelbagai perniagaan di merata tempat di daerah Kulim.

"Jika berminat, ahli persatuan akan diberi peluang untuk mengikuti kursus anjuran pelbagai agensi, termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara), KEDA dan bank-bank tempatan, tidak lama lagi," katanya.

Seorang penerima bantuan, Roslina Elias, 34, dari Taman Chengai berkata, dia gembira kerana dipilih untuk menerima pelbagai alatan perniagaan, seperti khemah, generator, kerusi dan lain-lain melalui persatuan itu.

"Usaha dilakukan ini berupaya merapatkan hubungan lebih baik antara persatuan dan ahli-ahli," katanya.

Peniaga, Baizura Wahid, 32, dari Lunas berkata, dia berniaga pelbagai barangan khusus untuk wanita sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, apabila bantuan-bantuan kecil disalurkan, seseorang peniaga dapat menambah baik perniagaannya dengan lebih mudah.

No comments:

Post a Comment