KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) 
mensasar untuk meningkatkan perolehan sektor koperasi kepada RM38.5 
bilion menjelang 2020 berbanding RM24.5 bilion ketika ini. 
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=929040 
Published: February 21, 2013
Pengerusi Eksekutif yang baharu dilantik, Datuk Nik Ali Mat Yunus 
berkata sektor koperasi mampu dibangunkan dengan lebih pesat lagi 
sekiranya diwujudkan kepelbagaian rantaian industri, bukan sahaja dalam 
bidang kredit tetapi juga sektor ekonomi lain seperti perkhidmatan dan 
pembuatan.
 Beliau berkata dengan menjadikan koperasi besar sebagai ikon organisasi
 utama kepada kepada koperasi-koperasi yang lebih kecil, ia mampu 
mewujudkan sinergi dan rantaian nilai yang dapat dikongsi bersama dan 
menjadikan koperasi satu industri besar seperti di negara-negara maju.
 "Malahan sekiranya dapat menembusi pasaran serantau dan antarabangsa, 
maka sektor koperasi mempunyai potensi besar untuk dibangunkan," kata 
beliau  kepada pemberita dalam satu temu bual.
 Ketika ini, terdapat 10,083 koperasi di seluruh negara dengan jumlah 
keanggotaan hampir lapan juta orang, kata Nik Ali yang menggantikan 
Datuk Md Yusof Samsudin berkuat kuasa 21 Jan.
 Nik Ali berkata ASEAN mempunyai jumlah penduduk yang amat besar, 
seramai 600 juta orang dan berpotensi besar kepada koperasi tempatan 
yang ingin meneroka pasaran eksport dan mewujudkan sinergi antara 
negara-negara seiring dengan semangat kerjasama ASEAN.
  Beliau berkata selari dengan hasrat para pemimpin negara anggota untuk
 mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang 2020, koperasi-koperasi domestik 
perlu bergerak seiring dan menyusun semula organisasi mereka untuk 
mendapatkan peluang besar menerusi pasaran ASEAN.
 Nik Ali berkata beliau berhasrat menjadikan koperasi-koperasi yang 
dianggap kecil dan sederhana menjadi koperasi yang besar dan berdaya 
maju dan tidak hanya bergantung pada pemberian kredit kepada anggota 
tetapi sebagai industri yang pelbagai dan mampu menjana ekonomi 
domestik.
 "Peranan SKM bukan semata-mata sebagai badan kawal selia tetapi juga 
untuk memastikan koperasi terus maju melalui usaha-usaha promosi dan 
penggalakkan seiring dengan pelan strategik SKM untuk menjadikan 
koperasi industri yang unggul, bertaraf global dan ikonik," katanya.
 Beliau berkata pada masa sama, koperasi di negara ini perlu melihat 
amalan terbaik yang dilaksanakan oleh koperasi besar di negara maju dan 
negara yang sedang membangun yang mempunyai sistem tadbir urus yang 
mantap dan kekal dengan daya saing tahap lestari yang unggul.
 "Legasi daripada koperasi ini perlu dilihat bagaimana mereka menyumbang
 kepada ekonomi negara seperti yang berlaku di negara-negara maju 
khususnya di Eropah.
 "Koperasi bukan sahaja memberi manfaat kepada anggota tetapi turut 
memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam pelbagai
 sektor ekonomi seperti industri perkhidmatan, peruncitan dan 
perkilangan, " katanya.
 -- BERNAMA   
No comments:
Post a Comment