KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
menggalakkan lebih banyak koperasi sekolah mempelbagaikan aktiviti
komersial khususnya penghasilan produk baharu yang dapat meningkatkan
pendapatan koperasi tersebut.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=967695
Published: August 02, 2013
Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata koperasi sekolah
seharusnya sentiasa mengamalkan sifat berdaya saing dan daya tahan
dalam menghasilkan pelbagai produk termasuk produk teknologi maklumat.
"Sekolah adalah tempat terbaik untuk pelajar menceburi dan mempelajari
bidang perniagaan dan keusahawanan. Jadi anggota koperasi diharapkan
dapat memulakan budaya keusahawanan ini dengan membuka kedai-kedai
runcit bagi memupuk minat para pelajar," katanya kepada pemberita di
sini hari ini.
Beliau sebelum itu melancarkan Projek Perisian Animasi Eksplorasi
Cabaran Sejarah (ECS) Kolej Vokasional, Gombak yang merupakan projek
pertama seumpamanya dihasilkan dan dipasarkan menerusi koperasi sekolah
itu.
ECS adalah sebuah perisian pendidikan bercorak permainan animasi 3D
bagi mata pelajaran Sejarah mencakupi sukatan tingkatan empat dan
tingkatan lima untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang dicipta
sepasukan guru dan pelajar sekolah itu.
Perisian itu juga mendapat pengiktirafan luar negara apabila
dianugerahi pingat emas dalam Program Penyelidikan Antarabangsa di
Amerika Syarikat pada tahun lepas dan ia dipatenkan untuk dipasarkan ke
sekolah lain sebagai bahan tambahan pembelajaran mulai hari ini.
Nik Ali berkata penciptaan perisian ECS itu merupakan ciptaan paling
cemerlang pernah dihasil dan dipasarkan menerusi koperasi sekolah dan ia
harus dicontohi koperasi sekolah lain.
"SKM bersedia menawarkan pelbagai pinjaman kewangan kepada mana-mana
koperasi sekolah yang ingin melebarkan perniagaan mereka. Contohnya
untuk ECS, kita telah beri pinjaman mudah di bawah Tabung Modal Pusingan
sebanyak RM50,000 tanpa cagaran di samping memberi geran pengukuhan
sebanyak RM20,000.
"Malah jika pasaran produk ini menampakkan peningkatan, kita akan
tawarkan pinjaman yang lebih kompetitif untuk mengembangkan lagi produk
tersebut," katanya.
Tambah Nik Ali, perubahan era pembelajaran kini yang banyak menggunakan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dilihat peluang terbaik untuk
koperasi sekolah menerokai dan mencari ruang menambah pendapatan.
Pada majlis sama, Kolej Vokasional Gombak menandatangani perjanjian
persefahaman di antara Asdion Hospitality Solution Sdn Bhd dan Smart
Ebook Technology Sdn Bhd sebagai jalinan kerjasama untuk memasarkan
produk tersebut.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment