Wednesday, March 28, 2012

Koperasi mikro perlu bergabung

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Koperasimikroperlubergabung/Article/index_html

Published: on 28 March 2012
Oleh Sri Ayu Kartikawati Amri
kartika@hmetro.com.my

BANYAK PILIHAN...Ismail memegang santan Coop 1Malaysia selepas merasmikan kedai berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
BANYAK PILIHAN...Ismail memegang santan Coop 1Malaysia 
selepas merasmikan kedai berkenaan di Kuala Lumpur, semalam. 

KERAJAAN menggesa syarikat koperasi mikro di negara ini bergabung bagi memperkasakan lagi sektor koperasi di Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengerusi koperasi mikro perlu lebih bersikap terbuka terhadap idea penggabungan itu terutama dalam usaha merealisasikan sasaran 10 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Negara (KDNK) menjelang 2020.

Beliau berkata, setakat ini 85 peratus daripada koperasi di seluruh negara adalah koperasi mikro yang mempunyai pendapatan purata tahunan kurang daripada RM250,000 berbanding hanya 124 koperasi yang mencatat perolehan perniagaan RM5 juta setahun.

“Pihak kerajaan sentiasa peka akan keperluan rakyat terutama melalui gerakan koperasi yang menjadi sektor ketiga penting dalam pembangunan negara dan disebabkan itu, kita menggalakkan juga lebih banyak penubuhan Kedai Coop 1Malaysia,” katanya pada majlis perasmian Wisma Moccis dan Coop 1Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Koperasi Pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis), Datuk Yusra Sabar dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Md Yusof Samsudin.

Sementara itu, Yusra berkata pihaknya menyasarkan penambahan ahli Moccis iaitu daripada 8,600 kepada 10,000 orang menjelang akhir tahun ini dan jumlah itu dijangka dicapai berikutan pembukaan Coop 1Malaysia serta pemberian dividen kepada ahli Moccis.


Beliau berkata, pada tahun ini, pihaknya turut menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pendapatan kepada RM10 juta di sokong dengan penambahan pelbagai produk jualan di Coop 1Malaysia dan kerjasama strategik dengan koperasi lain seperti Kofama, Kobanas, Kotani serta Sistem Pengurusan Komputer Koperasi (SPKK).

Tuesday, March 6, 2012

Koperasi bantu biayai Tukar

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KoperasibantubiayaiTukar/Article/index_html

Published: on 06 March 2012

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyasarkan sebanyak 500 peruncit di seluruh negara menyertai program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) tahun ini.
Sehingga kini, sebanyak 49 kedai runcit sudah menyertai program tersebut.

Ketua Penolong Pengarah KPDNKK Putrajaya, Nor Azhar Manap berkata program Tukar itu menarik 519 peruncit yang menyaksikan jualan masing-masing meningkat antara 10 peratus sehingga 200 peratus mengikut lokasi.

“KPDNKK bercadang untuk mengadakan satu sistem baru bagi permohonan program Tukar yang ditolak iaitu kaedah pinjaman daripada koperasi bagi mendapatkan pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar latihan dan pembangunan Tukar yang dikendalikan Aeon Co (M) Bhd di Seberang Prai City di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam.

Menurut Nor Azhar, kementerian juga akan menyemak semula penyertaan yang ditolak, sambil menambah sebanyak 2,000 permohonan diterima tahun lalu, tetapi hanya 519 yang layak mendapat pinjaman.


Inisiatif ini adalah kerjasama antara kerajaan, pengendali pasar raya besar seperti Carrefour, Tesco, Sunshine, Mydin dan Aeon untuk memodenkan kedai runcit tradisional. - Bernama