Thursday, April 18, 2013

Mydin labur RM34 juta buka dua cawangan SAM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Syarikat pemborong dan peruncit besar tempatan, Mydin Mohamed Holdings, kini melabur kira-kira RM34 juta untuk mewujudkan dua cawangan kedai runcit SAM (Saya Anak Malaysia) di Pulau Pinang dan KL Sentral tahun ini.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MydinlaburRM34jutabukaduacawanganSAM/Article/index_html
Published: April 18, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=942755
Published: April 18, 2013

Cawangan SAM itu menyasarkan untuk menarik pengguna mewah dari kawasan bandar.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata pelaburan RM17 juta bagi setiap cawangan itu terdiri daripada RM12 juta bagi perbelanjaan modal dan RM5 juta bagi stok.

"Kami menjangka setiap cawangan menyumbang kira-kira RM13 juta kepada perolehan kumpulan tahunan syarikat itu," katanya kepada Bernama, sambil menyatakan bahawa syarikat itu menyasarkan untuk berkembang ke Johor tetapi dilakukan selepas perancangan yang berhati-hati dan strategik.

Ameer Ali berkata syarikat itu mencatatkan perolehan keseluruhan RM2.1 bilion pada tahun lepas dan tahun ini menyasarkan RM2.5 bilion melalui pembukaan empat pasar raya besar dengan peruntukan keseluruhan RM500 juta.

"Kami telah membuka satu pasar raya besar di Jasin bulan lepas manakala tiga cawangan lain akan ditempatkan di Seremban, Kuala Terengganu dan Semenyih.

"Pasar raya besar di Seremban 2 akan disiapkan menjelang Oktober dan dua lagi - di Kuala Terengganu dan Semenyih -- dijangka disiapkan menjelang akhir tahun," katanya.

Mydin juga melabur kira-kira RM160 juta bagi dua pasar raya besar di Sarawak -- di Bandar Baru Samariang dan Isthmus -- yang dijangka beroperasi menjelang separuh kedua 2014, dan merancang membuka satu lagi pasar raya besar yang lebih besar di Vista Tunku di Kuching menjelang 2015.

Mydin menguruskan lebih 200,000 barang yang unik dan memproses jutaan transaksi setiap hari, kata Ameer Ali.

"Cabaran utama ialah untuk mendapatkan pemahaman jumlah dagangan yang besar itu. Syarikat itu perlu menjejaki produk dengan tepat dan jumlah barangan keluar dan masuk."

"Kesemua barangan yang diimport akan dihantar ke gudang kami di Vista Tunku dan akan diedarkan ke kesemua cawangan Mydin di seluruh Sarawak," katanya.

Mydin telah berkembang menjadi peruncit dan pemborong Bumiputera tempatan terbesar sejak 1957 dengan mempunyai 189 cawangan di seluruh negara, yang mengembang pada kadar tiga hingga empat pasar raya besar setahun.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment