Sunday, April 21, 2013

MCA Pelawa Bukan Cina Mohon Pinjaman Kojadi Untuk Mulakan Perniagaan

GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- MCA Negeri Pulau Pinang mempelawa orang ramai yang berminat memulakan perniagaan tetapi tidak mempunyai modal supaya membuat permohonan pinjaman mikro kredit perniagaan menerusi Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=943453
Published: April 21, 2013

Pengarah Kojadi Datuk Dr Loh Hock Hun berkata walaupun pinjaman itu disalurkan menerusi MCA tetapi ia juga terbuka kepada kaum Melayu dan India, khususnya golongan muda.

Loh yang juga Timbalan Pengerusi MCA Pulau Pinang berkata sambutan daripada kaum lain adalah menggalakkan tetapi jumlah yang membuat permohonan pinjaman itu masih kurang disebabkan ramai yang tidak tahu mengenainya.

"Ramai yang anggap pinjaman ini hanya untuk orang Cina...semua boleh mohon mengikut syarat yang ditetapkan. Minimum pinjaman ini ialah RM5,000 dan maksimum RM20,000, bayaran balik dalam tempoh lima tahun dengan faedah empat peratus," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan cek pinjaman mikro kredit itu di sini Jumaat.

Beliau berkata skim itu bertujuan menggalakkan golongan muda yang ingin memulakan perniagaan membuat pinjaman menerusi saluran yang betul, selain itu penjaja juga boleh memohon pinjaman ini dengan syarat umur di bawah 45 tahun.

Loh berkata pinjaman ini bukan sahaja untuk individu yang ingin memulakan perniagaan tetapi juga untuk mereka yang mempunyai perancangan untuk memperluaskan perniagaan.

Pada majlis itu, empat orang menerima cek mikro kredit masing-masing berjumlah RM20,000. Setakat ini hampir 1,000 orang mendapat manfaat daripada pinjaman mikro kredit perniagaan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment