Thursday, April 12, 2012

Angkasa rancang buka 20 pusat dialisis

Source From (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Angkasarancangbuka20pusatdialisis/Article/index_html

Published: on 12 April 2012

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) melebarkan lagi sayap perniagaannya menerusi bidang perkhidmatan dialisis dengan sasaran membuka 20 pusat dialisis seluruh negara menjelang Jun depan membabitkan lokasi pertama di Bayan Baru, Pulau Pinang dan Temerloh, Pahang.

Presiden Angkasa, Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata, pihaknya memberi peluang kepada ahli gabungan membabitkan diri dalam perkhidmatan itu sebagai sebahagian daripada aktiviti perniagaan selain membantu ahli koperasi mendapatkan rawatan pada harga rendah dan tidak membebankan.

“Kewujudan pusat dialisis MyAngkasa ialah satu inisiatif murni untuk koperasi melebarkan lagi sayap perniagaan dan melengkapkan pembabitan aktiviti dalam pembangunan bidang nefrologi di negara ini.

“Selain dapat menstabilkan harga perkhidmatan dialisis demi manfaat semua golongan masyarakat, penubuhan pusat ini juga dapat merangsang sektor koperasi untuk menceburi bidang ini secara lebih meluas sekali gus menjadikannya sebagai pemangkin kepada aktiviti pembuatan komponen serta penubuhan Institut Latihan Nefrologi Malaysia tidak lama lagi,” katanya selepas majlis perasmian bangunan Angkasa Negeri Sembilan di Pusat Perniagaan Betaria di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keusahawanan dan Pembangunan Koperasi Negeri Sembilan, Datuk Yunus Rahmat yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Bangunan tiga tingkat yang sebelum ini menempatkan Koperasi Serbamaju Daerah Jempol dibeli Angkasa pada harga RM429,000 akan menempatkan Pejabat Perhubungan Negeri Sembilan di tingkat satu dan dua manakala tingkat bawah menempatkan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa (Kopsya).


Mengenai rancangan tahun ini, Dr Mohd Ali berkata, koperasi itu akan terus menggerakkan pelbagai aktiviti ekonomi termasuk dalam bidang pembangunan hartanah, membuka rangkaian perniagaan kedai perkakasan dan perkhidmatan kesihatan.

Katanya, Angkasa melancarkan satu skim baru membabitkan pinjaman hartanah berasaskan syariah yang dikendalikan Kopsya, dijangka awal bulan depan, yang akan memberi manfaat kepada ramai ahli.

No comments:

Post a Comment