Tuesday, April 2, 2013

Koperasi Majlis Belia Perlis Berhad dilancarkan

KANGAR 31 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu melancarkan penubuhan Koperasi Majlis Belia Perlis Berhad di sini malam tadi sambil menggesa golongan belia merebut segala peluang ekonomi yang ada.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130401/wu_02/Koperasi-Majlis-Belia-Perlis-Berhad-dilancarkan
Published: April 02, 2013

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, kerajaan sentiasa membuka peluang seluas mungkin untuk generasi belia menceburi pelbagai bidang terutama berkaitan ekonomi dan berharap penubuhan koperasi itu akan menjadi simbol kegiatan ekonomi golongan belia.

Katanya, kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan kepada golongan itu melalui pertubuhan belia bagi menyuntik semangat kepada mereka untuk memajukan diri dalam bidang kepimpinan dan ekonomi.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Belia Negeri (MBN) Perlis, Saiful Munir Bidin ketika berucap di majlis itu berkata, Koperasi Majlis Belia Perlis Berhad diwujudkan bagi membina kekuatan ekonomi golongan belia.

Beliau berharap koperasi yang diwujudkan itu akan membantu memikat semangat golongan belia untuk menceburi sektor ekonomi secara lebih berkesan dan berharap penubuhan koperasi itu akan mendapat sokongan badan-badan gabungan MBN Perlis bagi memperkukuhkan koperasi itu.

Pada majlis itu, 13 badan gabungan MBN Perlis menerima bantuan pentadbiran berjumlah lebih RM40,000 yang disampaikan Menteri Besar.

Selain itu, tiga persatuan belia menerima anugerah khas prestasi cemerlang persatuan 2012 iaitu Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Perlis, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Perlis dan Persatuan Belia Wawasan Anak Nelayan Seberang Ramai.

Bekas Yang Dipertua MBN Perlis, Datuk Wan Nordin Che Morat pula menerima anugerah tokoh jasa belia atas sumbangan besarnya terhadap pembangunan MBN Perlis.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perlis, La'anain Jamil. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment