Monday, April 8, 2013

Pernama: Subsidi bukan penghalang

KUALA LUMPUR 7 April - Perwira Niaga Malaysia (Pernama) akan terus meningkatkan pendapatan, meskipun perniagaan terasnya hanya menjual barangan kepada anggota tentera dengan harga subsidi. Anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang ditubuhkan pada 7 Julai 1983 itu, telah mencatatkan perolehan tertingginya sebanyak RM258.9 juta pada tahun lalu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130408/ek_01/Pernama-Subsidi-bukan-penghalang
Published: April 08, 2013


Perwira Niaga Malaysia menawarkan barangan dengan harga subsidi kepada anggota tentera.

Pengurus Besar Pernama, Datuk Ab Wahab Khalil berkata, atas keyakinan itu, Pernama kini meletakkan sasaran untuk mencatatkan perolehan sebanyak RM300 juta menjelang tahun 2017.

Jelasnya, walaupun harga barangan yang dijual diberikan subsidi, namun Pernama masih berupaya mencatatkan margin keuntungan melalui strategi perolehan yang inovatif.

Tambahnya, keuntungan juga dijana melalui pelaksanaan skim Kredit Ansuran Mudah Pernama (KASUMA), yang mana anggota tentera membeli barangan melalui pembayaran secara ansuran berdasarkan kaedah Al-Bai Bithaman Ajil.

"Hasilnya, sebanyak RM5 juta daripada keseluruhan keuntungan syarikat akan digunakan sebagai membiayai subsidi.

"Dengan ini, di samping mencatatkan keuntungan, Pernama turut mengekalkan kebajikan kepada anggota tentera," katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 1983, Pernama mengambil alih sepenuhnya operasi perniagaan runcit NAAFI (Navy, Army and Air Force Institute) yang asalnya ditubuhkan oleh Tentera British bagi memberi perkhidmatan peruncitan kepada tenteranya termasuk di negara asing.

Sejak itu, Pernama terus mengembangkan rangkaiannya, termasuk mendapat kebenaran kerajaan untuk mentadbir urusan perniagaan di dalam kem-kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.

Sehingga hari ini, syarikat peruncitan itu berjaya menyediakan lima kompleks Mutiara Pernama, 15 kompleks Lamaniaga, 72 buah kedai Pernama, 23 buah kedai Rakaniaga, 153 buah kedai Runcit Keluarga serta 595 lot-lot niaga termasuk pasar basah.

Sesetengah unit perniagaan itu diusahakan oleh bekas Tentera, ahli keluarga serta orang awam.

Subsidi harga yang dilaksanakan Pernama bertujuan mengimbangi kos logistik terutama apabila kem-kem tentera ini terletak di kawasan pendalaman. Subsidi itu hanya meliputi barangan keperluan sahaja.

Ab Wahab berkata, Pernama akan terus mengembangkan rangkaiannya secara organik iaitu melalui pembukaan kompleks perniagaan baharu serta pengenalan produk-produk terkini seperti telefon pintar.

"Berdasarkan sejarah sekalipun, sukar untuk menyaksikan Pernama mengalami kemerosotan pendapatan walaupun semasa berhadapan kemelesetan ekonomi," katanya yang menjadi Pengurus Besar Pernama sejak 15 Januari 1990.

Jelasnya, LTAT sendiri berpuas hati terhadap prestasi Pernama yang sekali gus menjadi antara penyumbang kepada lembaga itu yang mengumumkan dividen sebanyak 16 peratus bagi 2012 baru-baru ini.

Sejak 30 tahun lalu, Pernama telah memberikan dividen berjumlah sebanyak RM145.8 juta kepada LTAT.

Sementara itu, Ab Wahab berkata, peraturan penubuhan Pernama tidak membenarkan jenama itu menjalankan perniagaan runcit di kawasan awam bagi menggelakkan masalah-masalah akibat dari barangan bebas cukai.

Pernama ketika ini sedang merancang untuk membina sebuah lagi Kompleks Mutiara Pernama bernilai RM30 juta membabitkan tanah berkeluasan 1.2 hektar, terletak di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

"Kompleks itu bagi memenuhi permintaan warga tentera sekitar Kuala Lumpur. Ia bakal menjadi kompleks terbesar milik Pernama," kata Ab Wahab. Jika kesemuanya mengikut jadual, kompleks itu akan menjadi kenyataan pada 2015.

No comments:

Post a Comment