Sunday, April 21, 2013

Habib lebar sayap

Habib Jewels Sdn Bhd, akan melebarkan lagi sayapnya apabila menyasarkan menembusi pasaran antarabangsa bagi perancangan jangka panjang dengan melihat negara berpotensi seperti India, Indonesia, Brunei, Vietnam dan Timur Tengah.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Habiblebarsayap/Article/index_html
Published: April 21, 2013

Pengurus Besarnya, Mohd Zaruddin Mahmud berkata, kelima-lima negara terbabit mempunyai permintaan barang kemas yang tinggi, malah di India pula pengguna barang kemas terbesar di dunia dan pasaran bersifat lebih matang.

Bagaimanapun, katanya, peluang pasaran dalam negeri juga masih banyak dan memerlukan syarikat meluaskan lagi pasaran ke seluruh Malaysia terutama di bandar kecil.

“Kami menyasarkan untuk memasuki pasaran antarabangsa menjelang 2015 dan syarikat masih dalam perbincangan mengenai perkara itu kerana tumpuan utama Habib sekarang ini adalah memenuhi permintaan pasaran tempatan serta mengukuhkan jenama tempatan ini ke persada global.

“Disebabkan itu, kami memerlukan perancangan lebih teliti untuk memastikan syarikat bersedia meneroka pasaran luar negara biarpun terdapat permintaan dan selain itu kami menyertai pameran antarabangsa bagi mengetengahkan jenama Habib,” katanya kepada Bisnes Metro di Festival Barangan Kemas Antarabangsa 2013 di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, menerusi pameran MIJ juga pihaknya dapat menunjukkan koleksi barang kemas yang memang direka untuk pasaran eksport dan ditawarkan dengan harga kompetitif.

Mohd Zaruddin berkata, permintaan untuk barang kemas sentiasa ada walau dalam situasi apa sekali pun, malah ia semakin meningkat dengan industri barang kemas di negara ini mencatatkan pertumbuhan antara 10 hingga 20 peratus setiap tahun.

Beliau berkata, Habib pula menyasarkan pertumbuhan jualan lebih kurang 15 peratus tahun ini yang lazimnya 65 peratus disumbangkan daripada jumlah jualan berlian.

“Jualan emas Habib juga meningkat, malah kami menawarkan satu gram jongkong emas pada harga RM150 semalam. Selain itu, kami akan membuka cawangan baru di Melaka, Seremban dan Kuantan berikutan permintaan tinggi di sana.

“Kami akan memberi tumpuan pada bandar kecil pula selepas ini selepas banyak cawangan Habib dibuka di bandar besar seluruh Lembah Klang. Manakala pelaburan bagi setiap cawangan lebih kurang RM3 juta,” katanya.

Festival Barangan Kemas Antarabangsa 2013 diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 19 hingga 22 April ini dan ia adalah acara terbesar pameran barang kemas di Malaysia.

Pameran kali ini menampilkan barang kemas jenama terkenal dari 20 negara seluruh dunia seperti Itali, Jepun, Dubai, Hong Kong, Sri Lanka, India, Thailand, Myanmar, Singapura, Kemboja dan Taiwan termasuk terbaru dari Timur Tengah.

No comments:

Post a Comment