Monday, April 29, 2013

RM211 juta bantu 21,860 peniaga

KOTA BHARU 28 April - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah menyediakan peruntukan sebanyak RM211 juta bagi membantu kira-kira 12,860 peniaga kecil di negeri ini untuk meningkatkan perniagaan masing-masing.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Timur/20130429/wt_03/RM211-juta-bantu-21860-peniaga
Published: April 29, 2013

Pengurus TEKUN negeri, Che Othman Che Will berkata, peruntukan ini telah diberikan kepada peniaga yang memerlukan modal untuk berniaga tanpa memerlukan sebarang cagaran atau jaminan sejak tahun 2008 hingga sekarang.

Menurut beliau, peminjam ini adalah mereka yang terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk peniaga kedai runcit, bengkel membaiki motor, kedai makan, kedai gunting rambut, pasar malam dan pasar tani.

"Dengan adanya pinjaman ini, rakyat akan lebih mudah menjana pendapatan kerana mereka hanya perlu mempunyai kedai atau tapak perniagaan serta lesen berniaga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Himpunan Komuniti Usahawan TEKUN Nasional Parlimen Pengkalan Chepa di sini semalam.

Pada majlis tersebut, sebanyak 16 peminjam menerima bantuan kewangan yang melibatkan hampir RM120,000 daripada TEKUN Nasional.

Tambah Che Othman, untuk tahun ini sahaja, TEKUN Nasional memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk seluruh negara bagi membantu peniaga menambah modal perniagaan dan mengembangkan perniagaan mereka.

"Negeri ini adalah antara tiga negeri teratas yang konsisten dalam pembayaran balik pinjaman, sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk meminjam semula pada masa depan," katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Siti Nafisah Musa, 51, berkata, pinjaman TEKUN Nasional itu merupakan satu program yang amat baik kerana mudah serta tidak memerlukan syarat yang ketat seperti dikenakan oleh institusi kewangan.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan Pusat kerana memberikan peluang kepada golongan yang memerlukan seperti kami untuk memulakan perniagaan," katanya yang sudah tujuh tahun berniaga.

Seorang lagi penerima, Rosliza Ibrahim, 41, berkata, dia gembira kerana inilah kali pertama mendapat cek pinjaman daripada TEKUN Nasional yang akan membantunya untuk memajukan perniagaan serta menambah pendapatan keluarga.

No comments:

Post a Comment