DUNGUN, 26 Feb (Bernama) -- Berpegang kepada peribahasa 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih', suri rumah Zawiah Idris, 46, kini berbangga kerana mempunyai pendapatan sendiri hasil pengeluaran kuih-muih secara kecil-kecilan. Bermula dengan sekadar suka-suka mengambil tempahan daripada penduduk setempat, Zawiah atau Kak Yah dari Kampung Panchur, Jerangau dekat sini memutuskan untuk bergiat secara serius dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) selepas menyertai satu program IKS.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=930318 
Published: February 27, 2013
"Alhamdulillah, rezeki Kak Yah bertambah selepas menyertai IKS enam 
tahun lepas (2007). Kalau dulu pendapatan Kak Yah taklah seberapa, tapi 
berkat dorongan suami serta dengan adanya bantuan daripada pihak 
kerajaan, saya dengan kakak ipar dapatlah menjana pendapatan bulanan 
sendiri," katanya kepada Bernama.
 Beliau dan kakak ipar Zaitun Mohamad, 49, yang mengusahakan pembuatan 
kuih bahulu, tat, kerepek pisang dan ubi, serta kuih loyang dan karipap 
mini di pekarangan rumah Zawiah, mampu memperoleh pendapatan bersih 
sehingga RM1,000 sebulan masing-masing.
 Menceritakan pembabitannya dalam IKS, Zawiah berkata minat beliau 
timbul selepas melihat banyak produk sedemikian di pasaran, sekali gus 
mendorongnya menjengah Pejabat Pertanian daerah dan Pertubuhan Peladang 
Dungun bagi mengetahui selok-belok IKS.
 Melihat potensi perniagaan wanita itu, pada 2010, dua agensi terbabit 
memberi bantuan bagi membina bengkel pembuatan kuih-muih di pekarangan 
rumah Zawiah selain bantuan peralatan.
 "Kak Yah bersyukur dan sangat berterima kasih terutamanya kepada 
Pertubuhan Peladang dan Pejabat Pertanian kerana memberi bantuan 
peralatan, bengkel dan papan tanda perniagaan. Tanpa bantuan mereka 
mungkin Kak Yah tak akan sampai ke tahap ini.
 "Mula-mula orang tak tahu tentang produk Kak Yah. Bila dah ada bengkel,
 ada 'signboard' yang dibina oleh agensi kerajaan ini, barulah orang 
tahu kewujudan produk Kak Yah," kata ibu kepada dua anak itu.
 Katanya menerusi tunjuk ajar agensi kerajaan berkenaan juga beliau 
lebih arif tentang bahan yang digunakan dalam penyediaan produk 
makanannya.
 "Kalau dulu Kak Yah tak tahu dan tak berapa pasti bahan-bahan yang Kak 
Yah guna tu halal ke tidak, tapi dengan adanya pendedahan dalam 
kursus-kursus yang disediakan oleh kerajaan, Kak Yah kini dapat 
memastikan produk yang Kak Yah hasilkan kini dijamin halal 100 peratus,"
 katanya.
 Beliau turut menggunakan peralatan moden bagi menyediakan produknya 
yang bukan sahaja meningkatkan pengeluaran tetapi juga menjamin kualiti 
dan kebersihan produk.
 Katanya sehingga kini dua agensi berkenaan masih memantau perjalanan 
perniagaannya selain sentiasa memberi tunjuk ajar dan khidmat nasihat 
dalam menguruskan perniagaan.
 "Banyak kelebihan menyertai IKS ni, pihak kerajaan sentiasa memberi 
bantuan peralatan, latihan, nasihat dan sentiasa memantau apa yang kita 
hasilkan," katanya.
 Menurut Zawiah, buat masa ini mereka hanya memasarkan produk itu di 
sekitar Dungun dan sedang meneliti untuk mengembangkan pasaran di daerah
 lain.
 -- BERNAMA    
No comments:
Post a Comment