MELAKA, 23 Feb (Bernama) -- Sejumlah RM85.5 juta diperuntukkan oleh tiga
 agensi persekutuan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Tekun Nasional
 (Tekun) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai pinjaman perniagaan 
bagi membantu usahawan di negeri ini untuk mengembang dan memajukan 
perniagaan mereka pada tahun ini, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri 
Mohd Ali Rustam. 
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=929902 
Published: February 24, 2013
Beliau berkata daripada jumlah itu, Mara memperuntukkan RM30.5 juta bagi pembangunan usahawan.
 "Tekun pula memperuntukkan sehingga RM20 juta sebagai bantuan pinjaman 
kepada golongan usahawan di negeri  ini," katanya ketika berucap pada 
majlis perasmian Festival Industri  Kecil Sederhana (FIKS) 2013 di sini,
 Sabtu.
 Turut hadir di majlis itu ialah Pengurus bahagian Perusahaan Kecil 
Sederhana Jabatan Ketua Menteri Melaka, Azlieza Azizan dan Rektor 
Universiti Teknologi Melaka (UiTM), Profesor Madya Dr Mohd Adnan Hashim.
 Beliau berkata sebanyak RM35 juta pula diperuntukkan AIM bagi usahawan 
wanita di negeri itu dengan had pinjaman sehingga RM50,000.
 Katanya kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai jenis pinjaman 
termasuk kepada belia berusia antara 18 hingga 30 tahun di bawah dana 
Tabung Usahawan Muda (YEF) yang memperuntukkan pinjaman antara RM50,000 
hingga RM10,000.
 Mohd Ali berkata selain pinjaman, usahawan di negeri itu juga  
berpeluang memperbaiki strategi pemasaran produk pertanian dan industri 
asas tani keluaran mereka melalui bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian 
Persekutuan (Fama).
 Beliau berkata Fama telah memberikan bantuan kepada 228 peniaga dalam 
bentuk ruang pasaran di pasar tani di sekitar negeri ini pada tahun 
lepas.
 Justeru katanya, usahawan di negeri itu perlu memanfaatkan peluang tersebut agar lebih maju dan berdaya saing.
 Pada majlis tersebut Mohd Ali turut menyampaikan cek pinjaman Tekun berjumlah RM167,000 kepada 14 usahawan.
 Festival selama dua hari itu yang bermula hari ini, mempamerkan 
pelbagai produk keluaran usahawan tempatan termasuk golongan pelajar 
melibatkan 50 gerai.
 -- BERNAMA
 
No comments:
Post a Comment