Sunday, January 13, 2013

Usahawan perlu fokus penghasilan produk

SEREMBAN 10 Jan. - Usahawan perlu memberikan fokus sepenuhnya terhadap penghasilan produk agar mereka boleh meningkatkan permintaan pelanggan pada masa hadapan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130111/ws_04/Usahawan-perlu-fokus-penghasilan-produk
Published: January 13, 2013

''Berikan fokus yang sepenuhnya kepada kepakaran perniagaan masing-masing dan belajar cara untuk memajukan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

''Pada masa yang sama, rancang modal perniagaan dan strategi untuk menambah tenaga pekerja agar produk boleh dihasilkan dengan lebih cepat dan sempurna, sekali gus meyakinkan pelanggan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya usaha yang dilakukan oleh Shukor Ismail, 62, atau lebih dikenali sebagai Pak Tam PD adalah contoh yang bijak dan bukan sahaja mempopularkan produk unik dengan menjahit kusyen, tetapi juga memperkenalkan nama Port Dickson pada hujung namanya, Pak Tam PD.

''Ini adalah usaha yang amat baik dan kita menghargai sumbangan yang dilakukan oleh Pak Tam PD, lebih-lebih lagi dengan pengalaman yang ada sebagai tukang masak di kapal dan boleh menjahit, tentulah komunikasi dan promosinya juga amat berkesan," jelasnya.

Menurut Yunus, kerajaan amat menyokong usaha yang dlakukan oleh Pak Tam PD ini, malahan telah menyediakan pelbagai platform bantuan untuk pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) ini, namun begitu terpulang kepada usahawan itu sendiri untuk memastikan perniagaan mereka berjalan lancar.

''Bukan sahaja bimbingan diberikan kepada mereka, malah kita juga menyediakan pelbagai bantuan kewangan, antaranya pinjaman dinamik Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).

''Seandainya mereka memerlukan kemudahan premis perniagaan, mereka boleh merujuk kepada Mara, Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Sembilan (PKNS)," katanya.

Katanya, dalam dunia yang serba moden ini, usahawan IKS masa kini perlu menjinakkan diri dengan kemudahan internet bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dengan kemudahan teknologi terkini.

''Usahawan perlu menjadi lebih kreatif dan proaktif dalam memikirkan cara untuk mendapatkan pasaran pelanggan menerusi Facebook, Twitter dan blog adalah kaedah yang mereka boleh guna untuk menyebarkan maklumat tentang perniagaan mereka," katanya.

Mengulas tentang usahawan yang menceburi bidang jahitan, beliau menyarankan mereka untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini tentang fesyen dan rekaan menarik yang sesuai mengikut peredaran trend terkini.

''Saya berharap lebih ramai usahawan seperti Pak Tam PD ini. Ini adalah satu daya tarikan yang dapat memperkenalkan produk usahawan kecil dengan menamakan Port Dickson sebagai jenama produk dan pembuatnya.

''Mungkin selepas ini orang akan bertanya di mana hendak dapatkan kusyen menarik, mereka akan sebut 'Kusyen Pak Tam PD' iaitu di Port Dickson," jelasnya.

No comments:

Post a Comment