Tuesday, January 22, 2013

KWRTAZ Atur Program Tingkat Ekonomi Ahli

KUALA TERENGGANU, 21 Jan (Bernama) -- Koperasi Wawasan Rukun Tetangga Losong Atap Zink (KWRTLAZ) Kuala Terengganu kini giat mengatur program untuk meningkatkan pendapatan ahli.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v6/bm/newsbusiness.php?id=923251
Published: January 22, 2013

Pengerusinya, Hasan Ismail berkata KWRTLAZ kini giat mendaftar bot milik ahli untuk disewakan kepada pelancong yang berminat mencandat sotong.

"Musim mencandat sotong sudah hampir tiba dan inilah peluang ahli-ahli KWRTLAZ yang ada bot untuk disewakan bagi menambah pendapatan," katanya kepada Bernama.

Menurut Hasan kira-kira 20 orang ahli KWRTLAZ mempunyai bot dan ini satu kemudahan kepada para pelancong untuk mendapatkan bot untuk mencandat sotong, dengan kadar sewaan sehingga RM300 semalam atau pun lebih.

Para nelayan yang bukan ahli, yang tinggal di sekitar Kampung Losong, juga boleh mendaftarkan bot mereka melalui KWRTLAZ bagi tujuan sama, bagi membantu mereka mendapatkan wang lebih di luar musim menangkap ikan, katanya.

Selain itu, Hasan berkata para pelancong yang datang secara berkeluarga tidak perlu mendapatkan tempat penginapan kerana tempat penginapan, seperti rumah tumpangan dan chalet, kerana ada disediakan oleh ahli-ahli KWRTLAZ pada kadar sewa yang berpatutan.

Katanya Kampung Losong, yang terletak berhampiran Taman Tamadun Islam (TTI), sememangnya terkenal dengan produk keropok lekor yang tersohor di seluruh Terengganu dan luar negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri Terengganu telah memberikan sumbangan RM10,000 kepada KWRTLAZ akhir tahun lepas untuk membeli peralatan koperasi dan koperasi itu mempunyai satu bangunan bernilai RM50,000 tetapi belum boleh beroperasi kerana ketiadaan bekalan elektrik dan air.

KWRTLAZ kini mempunyai lebih 100 ahli dan bilangan itu dijangka meningkat memandangkan ramai lagi nelayan yang memohon menjadi ahli.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment