Saturday, January 26, 2013

KMIB terokai sektor borong beras

IPOH 24 Jan. - Selepas berjaya dalam perniagaan berasaskan makanan tradisional dingin beku, Koperasi Mega Ipoh Bhd. (KMIB) merancang menerokai pasaran baharu sebagai koperasi borong beras di negeri ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130125/wu_04/KMIB-terokai-sektor-borong-beras
Published: January 26, 2013

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perak, Saiful Bahari Omar berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mencapai kesepakatan dengan pembekal dan pengilang beras tempatan di daerah Kerian baru-baru ini.

Menurut beliau, kerjasama tersebut mampu meningkatkan keupayaan koperasi itu menjana pendapatan, sekali gus menjadi entiti pertama seumpamanya menjalankan perniagaan borong beras di bandar raya Ipoh.

"Berdasarkan kemampuan KMIB, SKM yakin koperasi ini bukan sahaja meningkatkan perolehan tahunan tetapi menjadi contoh kepada koperasi lain, khususnya di negeri ini untuk berani mencuba perniagaan baharu.

"SKM akan membantu KMIB melalui bantuan dan dana berkaitan sambil berharap lebih banyak koperasi tampil dengan konsep pengembangan perniagaan yang lebih menguntungkan," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat premis KMIB di Kompleks Arked D' Mara di sini, kelmarin.

Yang turut hadir Pengerusi KMIB Bhd., Datuk Abdul Ghani Ngah dan Setiausaha Agungnya, Mohd. Nasir Hashim.

Saiful Bahari berkata, bagi merealisasi hasrat KMIB, SKM akan membantu premis jualan koperasi itu menyertai Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) dalam masa terdekat.

Menurutnya, ini termasuk mengubahsuai kedai dan membekal peralatan perabot seperti almari serta rak untuk menjadikan persekitaran kedai lebih tersusun.

"Selain itu, KMIB boleh memohon mendapatkan bantuan tabung modal pusingan SKM sebanyak RM50,000 tanpa cagaran bagi meringankan kos modal awal perniagaan beras kelak," katanya.

Jelas Saiful Bahari, ketika ini terdapat kira-kira 1,200 koperasi berdaftar di seluruh Perak dan 95 peratus daripadanya aktif menjalankan aktiviti mereka.

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran perolehan keuntungan dalam perniagaan baharu itu tetapi mahu menguasai sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran beras tempatan di bandar raya ini.

"Kualiti yang sentiasa dijamin oleh pengilang akan menjadikan KMIB sebagai pilihan utama sedikit masa lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment