Sunday, January 20, 2013

10 KR1M beroperasi di Pahang

KUALA LIPIS 19 Jan. - Sebanyak 10 Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah beroperasi di negeri ini yang memberikan kemudahan kepada penduduk berpendapatan rendah di bandar berbelanja dengan lebih selesa.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20130120/wp_03/10-KR1M-beroperasi-di-Pahang
Published: January 20, 2013

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Fong Koong Fuee berkata, sehingga kini kedai berkenaan menawarkan harga barangan antara 10 hingga 60 peratus lebih rendah berbanding premis lain.

Beliau berharap syarikat Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) yang diamanahkan melaksanakan operasi kedai itu akan membuka beberapa cawangan KR1M di dua daerah lagi di negeri ini iaitu Bentong dan Cameron Highlands pada tahun ini.

"Sebanyak 350 jenis barang berjenama KR1M boleh didapati di kedai tersebut dengan harga yang lebih rendah dan mampu dibeli pengguna.

"Usaha kerajaan itu membolehkan penduduk berpendapatan rendah membeli barang tersebut berdasarkan kemampuan kewangan dan keperluan mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kedai tersebut di Bandar Baru Kuala Lipis, di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Jerantut, Che Hanafi Mamat; Ketua Balai Bomba Lipis, Che Ismail Ngah dan Timbalan Ketua Polis Lipis, Deputi Supritendan Ibrahim Shariff.

Menurut Koong Fuee, pembukaan kedai tersebut merupakan manifestasi kerajaan memberikan kemudahan kebajikan penduduk untuk berbelanja secara berhemah serta dapat mengawal kenaikan harga barang.

"Keutamaan produk di bawah jenama KR1M diberikan kepada barangan keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk pengusaha berkenaan lebih maju berdasarkan pasaran lebih moden dan kompetitif," ujarnya.

No comments:

Post a Comment