Tuesday, May 29, 2012

Jom Niaga bantu usahawan IKS

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/jom-niaga-bantu-usahawan-iks-1.51506

Published: May 28, 2012
NORSHAHZURA MAT ZUKI

Najib bersama sebahagian penerima anugerah sempena program Jom Niaga di Shah Alam.
Najib bersama sebahagian penerima anugerah sempena 
program Jom Niaga di Shah Alam.

SHAH ALAM – Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana - Jom Niaga yang berlangsung selama dua hari di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, bermula 10 hingga 11 Mei lepas mendapat sambutan daripada pengunjung, khususnya dari sekitar Lembah Klang.

Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan SME Corp itu bertujuan memantapkan hubungan di antara kementerian, agensi kerajaan, syarikat korporat dan orang ramai.

Antara aktiviti yang diadakan berunsur keusahawanan, bimbingan perniagaan melalui beberapa siri ‘Pocket Talk’ dan bantuan kewangan untuk menjana lebih banyak peluang kepada peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk berkongsi dan menikmati kemakmuran negara sejajar dengan perkembangan ekonomi di rantau ini.

Menterinya, Dato' Seri Mustapa Mohamed berkata, program Jom Niaga penting untuk menzahirkan komitmen kerajaan bagi membantu peniaga di seluruh negara.

“Tujuan ia diadakan untuk memberikan anugerah kepada usahawan PKS yang berjaya dan memberikan peluang kepada mereka mempamerkan produk dan perkhidmatan.

“Seramai 350 usahawan terlibat dalam program ini.

Kerajaan prihatin terhadap usahawan kecil kerana kita mahu menjadi negara maju yang berpendapatan tinggi dua kali ganda pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memberikan tumpuan untuk menaikkan pendapatan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan memberikan kemajuan kepada PKS yang menyumbang kepada kemajuan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merasmikan program itu turut melancarkan Skim Pengkomersialan Inovatif Patuh Syariah (CIF) bernilai RM500 juta kepada usahawan PKS yang layak di seluruh negara.

Peruntukan RM500 juta itu merupakan tambahan kepada skim pembiayaan PKS patuh syariah bernilai RM2 bilion yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bachok, Kelantan pada 24 April lalu.

Selain CIF, usahawan PKS yang terjejas akibat banjir, ribut, kemarau, hakisan pantai dan tanah runtuh boleh memohon untuk mendapatkan bantuan kewangan yang diperuntukkan di bawah Dana Kecemasan PKS bernilai RM10 juta.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Menteri Miti, Datuk Mukhriz Mahathir.

Mustapa berkata, dana bernilai RM500 juta terbuka kepada semua syarikat yang mendapat pengiktirafan 1-innoCERT dan syarikat-syarikat ini boleh memohon mulai 1 Julai 2012.

“Sehingga kini, 115 syarikat tempatan yang mendapat pengiktirafan. Pembiayaan ini bertujuan untuk menambah bantuan kepada syarikat yang layak bagi meningkatkan inovasi produk serta servis mereka yang telah berada di peringkat  komersial,” katanya.

Menurutnya, melalui dana yang disalurkan kepada PKS dalam bentuk pembiayaan CIF, Kerajaan Pusat akan menanggung dua peratus daripada kadar keuntungan.

Katanya, Jom Niaga merupakan platform untuk menonjolkan isu-isu mikro yang berkaitan keusahawanan dan mengubah pandangan umum yang menggunakan pendekatan pengurusan berbanding keusahawanan.

Turut diadakan penyampaian anugerah kepada Usahawan Mikro bertujuan mengiktiraf usahawan-usahawan mengikut empat kategori, iaitu Usahawan Berjaya, Usahawan Inovatif, Usahawan Wanita dan Usahawan Muda.

No comments:

Post a Comment