Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20130623/wj_02/Indeks-Sosial-Iskandar-Malaysia-diwujud
Published: Jun 24, 2013

MOHAMED Khaled Nordin bersalaman dengan sebahagian ahli
koperasi ketika hadir merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi
Melayu Pasir Gudang Berhad (KMPGB) Kali Ke-4 di Kompleks
Pusat Bandar, Pasir Gudang
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem indeks tersebut amat penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat di negeri ini mampu mengecapi segala limpahan ekonomi yang terhasil daripada pembangunan di wilayah berkenaan.
"Iskandar Malaysia akan terus mengalami pertumbuhan ekonomi dari semasa ke semasa dan saya tidak mahu ada golongan yang terpinggir daripada menikmati kebaikan yang diperoleh kesan pembangunan yang dilaksanakan.
"Ia bukan sahaja dari konteks hartanah bahkan peluang pekerjaan, perumahan mampu milik, keselamatan awam, sistem pengangkutan yang lebih baik, taman rekreasi dan sebagainya yang meliputi keseluruhan aspek," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Melayu Pasir Gudang (KMPG) di Kompleks Pust Bandar, Pasir Gudang di sini hari ini.
Beliau berkata, keperluan mewujudkan sistem indeks berkenaan adalah sebagai bahan pengukur kepuasan penduduk di wilayah terbabit bagi memantau mutu kehidupan mereka.
"Ini adalah satu pendekatan yang saya praktikkan. Perlu ada perancangan terperinci sebelum dan selepas terhadap semua aspek.
"Maklum balas secara terus daripada penduduk di kawasan itu dan segala ketidakpuasan hati mereka akan direkodkan dan diambil tindakan segera supaya standard kehidupan di situ berada dalam kawalan terbaik dan terjamin," katanya.
Pada masa sama, pihaknya juga sedang merangka projek penjanaan pendapatan rakyat di 14 mukim supaya taraf kehidupan rakyat negeri ini berada pada tahap yang lebih baik.
Mohamed Khaled berkata, projek tersebut akan dilancarkan tidak lama lagi dan ia akan diselenggara serta digerakkan oleh koperasi yang dilantik.
"Saya mahu pembangunan ini dirasakan seperti kepunyaan bersama oleh setiap lapisan masyarakat, bukannya untuk golongan elit atau pihak tertentu," katanya.
No comments:
Post a Comment