JITRA (Bernama) -- Industri kraftangan, pada suatu ketika dahulu lebih
dikenali sebagai 'perusahaan kampung' membabitkan kaum wanita dan lelaki
dari sesebuah kawasan desa, yang menjadikannya sebagai kelangsungan
pencarian rezeki kehidupan.
Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=953786
Published: Jun 04, 2013
Ia juga tidak lari daripada pembentukan mentaliti bahawa industri yang
terurai dalam kepelbagaian bidang seperti tembaga, batik dan anyaman itu
hanyalah sekadar warisan tradisi yang tidak 'menguntungkan' mana-mana
pihak.
Kerjanya sukar serta memerlukan komitmen, kepakaran dan kesabaran
tinggi, masa diperlukan adalah lama, tetapi hasil diterima tidaklah
'seindah mana' berbanding pengorbanan yang dicurahkan oleh pengusaha
terlibat.
Dalam erti kata mudah, tidak berbaloi untuk membuatnya.
Biarpun begitu, mutakhir ini telah memperlihatkan akan satu senario
kebanggaan apabila industri yang dianggap bakal menjadi lipatan sejarah
itu telah disuntik segar supaya tidak usang dimamah waktu.
Anjakan pradigma digerakkan kerajaan serta pihak berkaitan dalam
mengangkat martabat industri kraf telah menjadikan ia sebagai antara
alternatif penjanaan dan pengukuhan nilai ekonomi negara.
Ini terbukti apabila nilai jualan perusahaan yang bersandarkan kepada
warisan tradisi negara itu telah melonjak secara drastik daripada RM140
juta pada tahun 2011 menjurus kepada nilai melebihi RM300 juta tahun
lepas.
PERUBAHAN SIKAP
Lonjakan jualan itu juga sedikit sebanyak berpaksikan kepada kekayaan
dan keunikan variasi produk kraf, hasilan daripada asimilasi
kepelbagaian budaya masyarakat majmuk negara.
Masyarakat Melayu yang kaya dengan budayanya itu, serta tidak terkecuali
Cina, India, Baba Nyonya, Iban, serta banyak lagi yang terangkum ke
arah penambahan nilai industri kraf sekali gus menjadi daya tarikan
kepada pelancong tempatan dan luar negara.
Menerusi itu juga, ia berfungsi sebagai gerbang penjanaan keuntungan
para usahawan dalam melakar masa depan lebih gemilang apabila industri
yang bertaraf kampung ini telah membawa mereka ke persada antarabangsa.
Ini dapat dilihat, apabila beberapa pengusaha berjaya mempamerkan
barangan kraf mereka di negara luar serta meraih permintaan baik
daripada warga sana.
Akan tetapi, potensi perusahaan warisan ini yang boleh diagresifkan lagi
turut dilingkari dengan masalah 'sikap negatif' segelintir pengusaha
sekali gus menjadi benteng dalam merealisasikan impian berkenaan.
IA INDUSTRI KAMPUNG
"Terdapat pengusaha kraf merasakan perusahaan mereka itu hanyalah
industri kampung dan kecil-kecilan. Ini menyebabkan atau menghalang
mereka untuk pergi jauh," akui Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia cawangan Kedah Faizul Azha Ibrahim.
Walhal, sudah beberapa kali isu akan masa depan industri ini dicerahkan
dalam pelbagai pendekatan sama ada menerusi medium bersemuka, paparan
media elektronik mahupun akhbar.
Namun demikian, masih tetap ada segelintir pengusaha kraf yang tegar
mengekalkan pemikiran tradisi itu sekali gus menyebabkan komuniti ini
tidak berani untuk mengoptimumkan pengeluaran produk.
Ketakutan dan stigma industri kampung itu mungkin juga berakar-umbi
daripada faktor kemasukan produk kraf negara jiran seperti Indonesia,
Vietnam yang akhirnya menyebabkan pengusaha kraf tempatan tidak berani
untuk menyahut cabaran.
"Pengusaha kita tidak yakin keupayaan pengeluaran produk mereka sendiri.
Contohnya, apabila mendapat tempahan tinggi mereka tidak berani untuk
menerima tempahan itu," jelas beliau.
MUDAH BERPUAS HATI
Tidak terkecuali dalam membataskan lakaran perjuangan perkembangan
industri warisan ini adalah sikap 'mudah berpuas hati' yang tercerna
ataupun sebati dalam diri segelintir mereka.
Mereka lebih gemar berada dalam zon 'selesa' dengan bergantung kepada
produk kraf sedia ada yang mendapat tarikan jualan walhal ia boleh
dikembangkan lebih jauh lagi menerusi pembangunan sesuatu produk itu.
Bagi komuniti 'tegar' pembaharuan ini tidak mahu meletakkan diri dalam
risiko bahaya ataupun menggapai cabaran, onak duri produk baru yang
belum tentu akan nilai potensi pemasarannya.
Sedangkan, pembaharuan dan pembudayaan sahsiah kreativiti, inovasi dalam
perusahaan kraf amat penting dan perlu diadaptasikan dalam kalangan
usahawan.
Ini kerana, transformasi sedemikan akan membantu ke arah pemanjangan
usia sesuatu produk, penjanaan keuntungan serta menambahbaik produk kraf
agar lebih berdaya saing dalam mana-mana pasaran sekali pun.
"Kraftangan Malaysia cawangan Kedah turut membantu dari sudut rekaan
kepada pengusaha kraf. Rekaan ini berdasarkan ciri-ciri terkini dan
moden tetapi tidak ada pengabaian kepada nilai-nilai tradisi.
"Tetapi, agak menyedihkan apabila rekaan yang diberi itu tidak mendapat
sambutan oleh segelintir pengusaha kraf kerana mereka tidak berani untuk
ambil risiko dengan produk, dan rekaan baru. Mereka lebih selesa untuk
mengekalkan rekaan sedia ada yang sudah mempunyai tempahan," katanya.
HALANGAN CAPAI RM1 BILION
Penularan dan pembiakan pemikiran sedemikian harus diambil perhatian
jitu dan tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan menghalang kepada
matlamat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).
Sebagai sebuah badan yang membantu memartabatkan industri berkenaan,
Kraftangan Malaysia telah menyasarkan agar nilai jualan produk itu akan
mencapai RM1 bilion (seluruh negara) menjelang 2015.
Hanya berbaki dua tahun lebih sahaja untuk merealisasikan matlamat itu,
justeru usaha membimbing pengusaha kraf perlu diagresifkan lagi
termasuklah melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan.
Ia perlu berterusan bagi menoktahkan penularan sikap negatif pengusaha
kraf serta menukarkan ataupun mentransformasikan minda komuniti ini agar
lebih berani menyahut cabaran.
LATIHAN KEUSAHAWAN
Atas faktor itu, Kraftangan Malaysia cawangan Kedah telah memberi
penekanan khusus kepada penyaluran ilmiah dalam kalangan pengusaha
menerusi penganjuran kursus keusahawanan dan motivasi.
"Dari semasa ke semasa, kita mengadakan program yang dikenali sebagai
latihan keusahawanan yang bertujuan untuk memupuk sikap positif dalam
diri mereka.
"Semasa kursus itu juga akan didedahkan potensi dan pasaran industri
kraf. Ini akan membuka mata mereka bahawa sudah berapa ramai yang telah
berjaya dan ia bukanlah sekadar perusahaan bertaraf industri kampung,"
kata Faizul Azha.
Dalam mengoptimumkan ataupun mengasah kreativiti pengusaha kraf pula,
beliau berkata pendekatan secara konsultasi ataupun berdiskusi antara
pereka Kraftangan Malaysia dan usahawan telah diterapkan.
Menerusi kaedah ini, mereka akan didedahkan dengan ciri-ciri moden,
rekaan dan warna baharu serta merekabentuk semula sesuatu produk kraf.
Contohnya, kalau dahulu anyaman mengkuang lebih sinonim dengan
penghasilan produk tikar.
Tetapi, kini ia telah divariasikan seperti sarung telefon, iPad, beg
tangan dan sebagainya yang secara tidak langsung memberi nilai tambah
dalam menghadapi persaingan produk kraf negara luar.
INKUBATOR DAN MESIN
Usaha tidak terhenti di situ tetapi menjurus kepada pengumpulan dan
penambahan bilangan pengusaha kraf dalam merealisasikan pencapaian
jualan sebanyak RM1 bilion.
Penjanaan jumlah jualan ini akan membantu kepada penyumbangan sebanyak
anggaran satu peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Justeru, Kraftangan Malaysia cawangan Kedah akan lebih agresif menjejaki
pengusaha kraf untuk mendaftarkan mereka serta menjelaskan lebih lanjut
mengenai skim inkubator dan program lain.
Skim inkubator, adalah skim melahirkan usahawan kraftangan di mana
seseorang yang mahir dalam pembuatan sesuatu kraftangan itu didedahkan
dengan ilmu keusahawanan dan dibantu dari sudut prasana dan seumpama.
Ini memberi peluang kepada pelajar lepasan Institut Kraf Negara (IKN)
untuk berjinak dalam perusahaan kraf tetapi tiada modal, jelas Faizul
Azha.
Di sini, mereka akan diberi kemudahan sewaan tapak dan penggunaan mesin
selama tiga tahun di bengkel yang terletak di mana-mana pejabat
Kraftangan Malaysia. Pada masa itu, mereka perlu belajar dan mengumpul
modal sebelum keluar menjadi usahawan di premis sendiri," katanya sambil
menambah Kraftangan Malaysia turut membantu pengusaha mempromosi produk
kraf mereka.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment