Sunday, June 30, 2013

1,020 koperasi dipantau

IPOH 27 Jun - Kerajaan negeri dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memantau operasi dan aktiviti 1,020 koperasi di seluruh Perak bagi memastikannya terus berdaya saing dan mampu memberi pulangan yang baik kepada ahli-ahli.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130628/wu_04/1020-koperasi-dipantau
Published: Jun 30, 2013

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria berkata, semua maklumat berkaitan setiap koperasi akan disimpan dalam bank data SKM sebagai rujukan pada masa akan datang.

Katanya, antara maklumat tersebut termasuk jumlah ahli, keseluruhan modal serta aset yang dimiliki mereka.

"Kita akan pantau operasi dan aktiviti setiap koperasi di negeri ini dengan kerjasama SKM dan kumpul maklumat lengkap mengenai mereka.

"Dengan wujudnya data lengkap ini diharap memberi motivasi kepada koperasi lain untuk turut menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negeri dan negara," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan tahunan Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Nizar berharap kejayaan Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad dicontohi koperasi lain apabila mampu mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM30,000 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Jelas beliau, bertunjangkan sektor perladangan, koperasi yang mempunyai 25,000 ahli di seluruh Perak itu turut memiliki aset seperti ladang yang membolehkan ia terus kekal berdaya saing.

No comments:

Post a Comment