Sunday, June 30, 2013

Seramai 732,128 Penjaja, Peniaga Kecil Nikmati Insurans P1MPIN

ALOR SETAR, 30 Jun (Bernama) -- Seramai 732,128 penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara yang berdaftar akan menikmati pelan perlindungan Insurans 1Malaysia Penjaja dan Peniaga Kecil Nasional (P1MPIN).

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=959903
Published: Jun 30, 2013

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata kerajaan memperuntuk RM16 juta setiap tahun bagi melaksanakan P1MPIN.

Bank Rakyat dilantik agensi pengurus dan ia memilih Takaful Ikhlas sebagai syarikat pengendali P1MPIN, katanya semasa berucap merasmikan kursus Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil 2013 peringkat negeri Kedah di sini hari Ahad.

Ahmad Bashah berkata P1MPIN ialah pelan perlindungan insurans berkelompok penjaja dan peniaga kecil yang diperkenal kerajaan serta berkuat kuasa pada 1 Jan 2013.

Mengikut pelan ini, penjaja dan peniaga kecil mendapat perlindungan kemalangan 24 jam sehari tanpa mengira di mana sahaja mereka berada sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan itu, katanya.

Beliau berkata 14 peniaga dan penjaja kecil sudah menerima faedah P1MPIN dan empat daripada mereka dari Kedah.

Ahmad Bashah bagaimanapun kecewa kerana masih ramai penjaja dan peniaga kecil belum mendaftar perniagaan untuk membolehkan mereka menikmati skim itu.

Beliau berkata kementerian turut menawarkan skim pembiayaan mikro tanpa faedah kepada penjaja dan peniaga kecil melalui Bank Rakyat bagi membantu mereka memajukan perniagaan.

Katanya, sehingga 17 Jun lepas, seramai 1,781 pemohon menerima pembiayaan di bawah skim mikro itu yang berjumlah RM6.2 juta.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment