Monday, June 10, 2013

HPASB sasar jualan RM50 juta tahun ini

KUALA LUMPUR 9 Jun - Syarikat pengeluar minyak wangi tempatan, Hot Perfumes & Air Fresheners Sdn. Bhd. (HPASB) menyasarkan nilai jualannya melebihi RM50 juta pada tahun ini, berbanding RM30 juta yang dicapai pada tahun lalu.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Korporat/20130610/ko_02/HPASB-sasar-jualan-RM50-juta-tahun-ini
Published: Jun 10, 2013

Purata nilai jualan HPASB setakat ini kira-kira RM2 juta sebulan, kata Pengarah Urusannya, Ahmad Shazali Zahidi.

Beliau berkata, syarikat telah merangka beberapa rancangan usahasama dengan beberapa pertubuhan koperasi dan agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk meluaskan perniagaan.

Katanya, HPASB juga menggiatkan aktiviti promosi produk-produk keluaran syarikat menerusi media-media arus perdana.

"Kami sangat yakin untuk mencapai sasaran jualan tersebut setelah melihat kepentingan produk haruman kereta dan rumah kepada pengguna yang sangat ramai dan konsisten,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

HPASB yang merupakan syarikat milik bumiputera sepenuhnya ditubuhkan pada 2008.
Pusat pengeluaran produknya terletak di Kuala Kangsar, Perak, manakala ibu pejabat HPASB terletak di Shah Alam, Selangor.

Skop perniagaan HPASB adalah mengimport, membekal dan mengeluar produk-produk berasaskan haruman halal untuk pengguna di negara ini.

Pada masa ini, HPASB dikatakan pengusaha industri bidang haruman milik bumiputera yang terbesar di negara ini dan mempunyai kilang pengeluarannya sendiri.

HPASB menawarkan dua produk utama iaitu Hot Perfumes (jenama untuk haruman badan) dan Hot Air Fresheners (jenama untuk haruman kereta dan rumah) dengan harga mampu milik RM10 bagi setiap pek.

Semua produk keluaran HPASB mendapat persijilan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain berdaftar dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

"Mereka yang ingin menjadi ejen dan stokis HPASB memerlukan modal permulaan serendah RM100 sahaja,'' ujarnya.

Sehingga kini, HPASB mempunyai 76 buah cawangan, 431 stokis, 889 mini stokis dan 4,393 ejen di seluruh negara.

No comments:

Post a Comment