Thursday, June 20, 2013

RM500,000 diperuntuk bantu 50 peserta 1Azam Tani Pulau Pinang

NIBONG TEBAL 18 Jun - Kerajaan Pusat memperuntukkan RM500,000 bagi membantu 50 ketua isi rumah bagi program Bantuan 1Azam Tani (Akhiri Zaman Miskin) bagi meningkatkan pendapatan golongan itu di negeri ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130619/wu_02/RM500000-diperuntuk-bantu-50-peserta-1Azam-Tani-Pulau-Pinang
Published: Jun 20, 2013


Mahmud Zakaria (kanan) dan Habibah Sulaiman (dua dari kiri) melihat 
mesin jahit yang diberikan kepada seorang peserta 1Azam Tani di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang, Habibah Sulaiman berkata, bantuan yang disalurkan kepada FAMA itu bertujuan membantu golongan miskin keluar daripada kemiskinan dengan menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, peserta yang dipilih itu akan menerima bantuan peralatan serta bimbingan setelah mereka tersenarai dalam data e-kasih.

"Menerusi bantuan itu FAMA akan membantu peserta mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan daya saing melalui kursus pembangunan modal insan dan latihan," katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan 1Azam Tani di kawasan Sungai Acheh, di sini.

Majlis penyampaian bantuan kepada tiga peserta 1Azam Tani itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Acheh, Datuk Mahmud Zakaria.

Peserta yang menerima bantuan itu ialah Mat Shah Shafee, 38, menerima peralatan perniagaan, Sidek Ismail, 46, (mesin jahit) dan Ali Yusuf, 65, menerima jentera mengepam air. Setiap seorang menerima bantuan bernilai RM10,000.

Habibah berkata, sejak 2010 hingga 2012 seramai 99 peserta di Pulau Pinang menerima bantuan 1Azam Tani dan daripada jumlah itu, 74 orang berjaya meningkatkan pendapatan mereka.

"Hasil pemantauan yang dijalankan 74 peserta yang menerima bantuan itu berjaya keluar daripada garis kemiskinan dan memperoleh pendapatan tambahan antara RM50 hingga RM1,000 sebulan," katanya.

No comments:

Post a Comment