Saturday, June 8, 2013

Koperasi disaran fokus penghasilan produk

GOPENG 7 Jun - Pertubuhan koperasi di negeri ini disaran memberikan fokus sepenuhnya terhadap penghasilan produk yang berpotensi untuk dibangunkan agar boleh meningkatkan hasil ekonomi ahli-ahlinya pada masa hadapan.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130608/wu_02/Koperasi-disaran-fokus-penghasilan-produk
Published: Jun 08, 2013

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria berkata, produk berasaskan pelancongan antara bidang yang boleh diketengahkan kerana sektor itu berkembang pesat saban tahun.

Oleh itu katanya, setiap koperasi perlu menitikberatkan hasil kerja dan perkhidmatan terbaik terhadap pelanggan dalam usaha memenangi hati mereka.

"Saya lihat produk berkaitan pelancongan, peruncitan dan industri kecil dan sederhana (IKS) mempunyai potensi besar untuk diceburi oleh pertubuhan koperasi di Perak.

"Saya yakin produk ini boleh diketengahkan sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh. Bagaimanapun, pada masa sama, perancangan daripada aspek modal dan strategi perniagaan perlu digerakkan bagi memastikan usaha itu membuahkan hasil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat produk pelancongan diusahakan Koperasi Pelancongan Gopeng Berhad di Kampung Sungai Itek di sini baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai pengurusan Koperasi Pelancongan Gopeng Berhad, Mohd. Nizar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja berkata, beliau berpuas hati dengan pengurusan koperasi terbabit yang mempunyai kira-kira 100 ahli berdaftar.

Katanya, koperasi tersebut mampu berkembang maju kerana mengetengahkan produk pelancongan berbentuk eko-pelancongan dengan menceburi bidang inap desa yang amat bersesuaian memandangkan Kampung Sungai Itek kini menjadi lokasi pelancongan.

"Mereka nampak produk pelancongan mampu menjana ekonomi ahlinya dan ternyata pilihan mereka tepat dan wajar dijadikan contoh oleh koperasi lain di Perak," katanya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) merupakan tulang belakang koperasi dan jabatan berkenaan menyediakan pelbagai bantuan kepada koperasi di seluruh negara untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

"Saya akan terus memberi sokongan kepada semua koperasi di Perak untuk menjayakan aktiviti yang dilaksanakan dan apa yang penting koperasi berkenaan perlu menyahut seruan kerajaan dalam meningkatkan daya saing," katanya.

No comments:

Post a Comment