Thursday, June 13, 2013

Felda Wilayah Terengganu Buka Pusat Kumpul Produk Usahawannya Bulan Depan

DUNGUN, 12 Jun (Bernama) -- Felda Wilayah Terengganu akan membuka sebuah pusat bagi mengumpulkan produk yang diusahakan oleh usahawan dari 20 tanah rancangannya di negeri itu untuk dipasarkan.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=955545
Published: Jun 13, 2013

Penolong Pengurus Besar (Komuniti) Felda Wilayah Terengganu Badariah Che Omar berkata pusat yang dinamakan Sawari (Satu Wilayah Satu Industri) itu akan ditempatkan di Pejabat Felda Wilayah Terengganu dan dijangka beroperasi bulan depan.

"Kita sudah ambil pekerja untuk ditempatkan di pusat pengumpulan produk berkenaan. Sebelum Sawari dibuka, kita akan hantar mereka (pekerja) berkursus dulu pada 21 Jun ini.

"Sekarang kita hanya tunggu kelulusan daripada ibu pejabat sahaja untuk memulakan operasi pusat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pembiayaan Usahawan dan Anugerah Usahawan Felda Wilayah Terengganu 2012 di Pusat Latihan (Felda) Kerteh dekat sini hari ini.

Badariah berkata ketika ini terdapat 2,762 usahawan Felda dari 20 tanah rancangannya di negeri itu yang mengeluarkan pelbagai produk makanan termasuk makanan tradisional Terengganu serta pelbagai produk kraf tangan, menerusi industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau berkata Felda mencapai 3,000 usahawan di Terengganu pada akhir tahun ini.

Menurutnya Felda sentiasa membantu dan membimbing usahawannya dengan kerjasama agensi lain seperti Fama untuk mengetengahkan usahawannya sehingga berjaya.

"Kita juga mengeluarkan bantuan pinjaman tanpa faedah kepada usahawan sejak 2002. Kini, kita mengeluarkan pinjaman modal kira-kira RM5 juta melibatkan 562 usahawan. Pinjaman tidak pernah kita hadkan dan mana-mana usahawan Felda yang berkelayakan kita akan bagi pinjaman," katanya.

Badariah berkata bagi pinjaman RM10,000 ke bawah, boleh diluluskan oleh Felda Terengganu manakala bagi RM10,000 ke atas akan diluluskan oleh ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur.

Pada majlis itu Zakaria Mat Hassan, 57, dari Felda Kerteh 2, menerima anugerah Usahawan Jaya Felda Wilayah Terengganu bagi 2012.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment