Tuesday, June 11, 2013

Pelaburan RISDA di Kemboja bantu penduduk

PHNOM PENH (Kemboja) 10 Jun - Kesungguhan RISDA membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat tempatan Kemboja membawa kepada penubuhan dua anak syarikat, RISCAM Plantation Co. Ltd. dan Mas & Cam Co. Ltd.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130611/ek_05/Pelaburan-RISDA-di-Kemboja-bantu-penduduk
Published: Jun 11, 2013

Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad (gambar) berkata, penubuhan kedua-dua syarikat itu merupakan usaha mengembangkan sayap RISDA di Kemboja sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk terbabit.

Menurut beliau, pelaburan dalam sektor perladangan itu kini memasuki fasa akhir dan kedua-dua anak syarikat tersebut akan beroperasi setelah semua urusan permohonan konsesi antara RISDA dan kerajaan Kemboja selesai.

"Usaha ini akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat terutama pekebun kecil supaya mereka dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

''Model yang kita guna di Malaysia akan diterapkan di sini yang mana kita telah berjaya membantu pekebun-pekebun kecil meningkatkan taraf ekonomi mereka.

''Jalinan dua hala ini bukan hanya bertujuan menambah peluang pelaburan dan keuntungan, sebaliknya membantu meningkatkan semangat perpaduan serta kerjasama ekonomi dalam kalangan negara ASEAN," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarahnya di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ESPEK Sdn. Bhd., Datuk Kamaruddin Mohamed Shah; Ketua Pegawai Eksekutif RISDA Plantation Sdn. Bhd., Mohd. Najib A. Samad serta Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik RISDA, Ihawan Sudim.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Syarikat, Sopian Abu Bakar dan Ketua Jabatan Perancangan dan Korporat, Abd. Majid Khan Hassan.

Selain mesyuarat, kesemua Ahli Lembaga Pengarah RISDA tersebut dalam rangka lawatan ke Kemboja bagi menyelesaikan baki urusan penubuhan kedua-dua anak syarikat itu.

Penubuhan syarikat-syarikat tersebut merupakan susulan daripada persetujuan kerajaan Kemboja untuk membenarkan RISDA menyalurkan pengalaman dan kepakaran dalam membangunkan tanah bagi penanaman getah.

Menurut Wan Mohamad Zuki, seorang eksekutif warga tempatan telah dilantik bagi kelancaran urusan kedua-dua syarikat itu dan akan dibantu sebuah syarikat perundingan, Deminziki Co. Ltd.

"Ahli Lembaga Pengarah juga telah melantik Ketua Pegawai Eksekutif untuk kedua-dua syarikat itu, namun namanya akan diumumkan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak lama lagi.

''Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil rakyat daerah Pursat, Sman Teath dan kerajaan Kemboja kerana memberi peluang kepada RISDA untuk melabur di sini dan juga bersikap terbuka untuk menerima kepakaran RISDA dalam membantu membangunkan negara mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment