Wednesday, June 20, 2012

Moccis - RM4.5j setahun

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM4_5jsetahun/Article/index_html

Published: Jun 19, 2012
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my

KOPERASI Pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis) menyasar perolehan RM4.5 juta setahun disumbangkan daripada perkhidmatan pinjaman peribadi Al-Aslah dengan peruntukan pinjaman RM50 juta setahun.

Pengurus Besarnya, Khairul Zamri Jamal berkata, sehingga suku pertama tahun ini, jumlah pinjaman yang diagihkan hanyalah sekitar 28 peratus, kira-kira RM15 juta berbanding RM54 juta yang diperuntukkan.

“Moccis menawarkan pinjaman peribadi kepada kakitangan kerajaan, badan berkanun atau swasta yang layak dengan jumlah pinjaman sehingga RM200,000 dengan kadar faedah antara 4.9 dan 5.9 peratus. Kadar pembiayaan sehingga 97 peratus dari jumlah permohonan tertakluk kepada syarat perjanjian.

“Kami mempunyai sejumlah peruntukan iaitu RM54 juta dan baki untuk diagihkan RM39 juta. Bagi yang berminat hanya perlu menjadi ahli koperasi dengan pendaftaran RM10 sebelum membuat permohonan,” katanya yang ditemui ketika Majlis Memberi Sumbangan kepada Asrama Darul Falah Perkim (ASDAF) di ibu negara, semalam.

Menurut Khairul, selain menawarkan skim pembiayaan peribadi, Moccis juga bakal membuka rangkaian pajak gadai Ar-Rahnu yang ketiga di Sungai Way, Petaling Jaya, Selangor bagi menyediakan kemudahan pinjaman kewangan segera kepada orang ramai.

“Sebelum ini kami mempunyai dua cawangan di Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur dan Mantin, Negeri Sembilan dengan perolehan sekitar RM1.7 juta sebulan. Kami mengunjurkan perolehan meningkat kepada RM2.1 juta dari ketiga-tiga rangkaian Ar-Rahnu pada akhir tahun ini. Nilai gadaian sehingga kini mencecah RM15 juta dengan purata gadaian 400 orang sebulan bagi kedua-dua rangkaian itu,” katanya yang kini beroperasi di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur.


Ahli Moccis kini seramai 8,500 dan koperasi itu menyasar untuk menambah ahli kepada 10,000 menjelang penghujung tahun ini.

“Operasi kami kini lebih agresif ke arah menjadikan Moccis sebagai koperasi yang pertama mendapatkan pensijilan ISO 9001:2008 tahun ini. Ini bagi menaikkan imej Moccis untuk menjadi 100 koperasi terbaik di Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment