Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/program-francais-komuniti-tarik-732-penyertaan-1.55060 
Published: Jun 10, 2012
 BUTTERWORTH - Program Francais Komuniti yang dilancarkan pada Oktober 
tahun lalu, berjaya menarik penyertaan 732 francais berpotensi dalam 
pelbagai bidang perniagaan dengan anggaran nilai pelaburan RM80.168 
juta.
 
 Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan 
Kepenggunaan Datuk Saripuddin Kassim berkata pencapaian program itu amat
 membanggakan  memandangkan program itu baru saja dilancarkan di 10 buah
 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
 
 Katanya program itu berjaya mencatatkan pencapaian nilai potensi 
pelaburan sebanyak RM21 juta bagi francais mikro iaitu melibatkan modal 
kurang daripada RM50,000 dan RM59 juta bagi francais makro (modal 
melebihi RM50,000).
 
 "Ini merupakan satu jumlah yang agak memberangsangkan dan terbukti 
sistem francais boleh mewujudkan golongan usahawan tempatan yang 
berkemampuan untuk menguruskan perniagaan dengan berkesan," katanya 
kepada pemberita di sini.
 Beliau ditemui selepas merasmikan Program Francais Komuniti Peringkat 
Pulau Pinang di perkarangan rumah pangsa Kompleks D, Seberang Jaya di 
sini malam tadi.
 
 Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya Datuk Arif Shah Omar  Shah.
 Saripuddin berkata program berkenaan juga berjaya membuka minda 
masyarakat yang sebelum ini berpandangan bahawa program francais hanya 
untuk peniaga yang mempunyai modal besar antara RM500,000 dan RM1 juta.
 Katanya kerajaan turut memperuntukkan RM8 juta sebagai skim pinjaman 
mikro yang dinamakan Skim Pinjaman Kecil Francais (SPKF) kepada mereka 
yang mahu memulakan perniagaan francais.
 
 "Sehingga Khamis lepas, kerajaan telah meluluskan sebanyak RM3.45 juta 
kepada 151 bakal francaisi untuk memulakan perniagaan mereka.
 "Jadi saya harap mana-mana usahawan yang berminat supaya merebut 
peluang untuk mendapatkan baki dana kira-kira RM4.45 juta bagi memulakan
 perniagaan francais melalui program berkenaan," katanya.
 Beliau berkata kerajaan percaya perniagaan francais dapat membantu 
menambah pendapatan isi rumah bagi mengimbangi pendapatan dengan 
kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi dari semasa ke semasa. - 
Bernama
No comments:
Post a Comment