Friday, June 29, 2012

Minta Angkasa bantu pembangunan wanita, pendidikan

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0628&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm

Published: Jun 28, 2012

Penterjemah bahasa Presiden Guinea, Ismael Nabe menyerahkan 
surat hasrat kerjasama koperasi kepada Mohd. Ali Baharum sambil 
diperhatikan Alpha Conde (belakang, tengah) di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Jun - Kerajaan Guinea mahu mengaplikasikan kaedah dan aktiviti koperasi yang dilaksanakan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di negara itu secepat mungkin.
Presidennya, Prof. Alpha Conde berkata, beliau yakin kejayaan Angkasa dalam bidang ekonomi dan sosial di negara ini boleh membantu negara itu khususnya dalam pembangunan wanita dan pendidikan.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau berharap Angkasa dapat menghantar tenaga pakar ke Guinea tersebut untuk melaksanakan program koperasi yang telah dilaksanakan di negara ini.

"Saya percaya koperasi dapat membantu mempercepatkan pembangunan sesebuah negara termasuk di Guinea terutama dalam pembangunan sistem pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani surat hasrat kerjasama koperasi antara kerajaannya dan Angkasa yang diwakili Presiden Angkasa, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum di sini hari ini.

Sebelum itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mengenai kerjasama berkenaan yang turut dihadiri Menteri Kerjasama Antarabangsa Guinea, Dr. Koutoub Moustapha Sano; Menteri Kerjasama Guinea, Fatoumata Balde; Naib Presiden Angkasa, Kamaruddin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Angkasa, Nasir Khan Yahaya.

Menurut Conde, kira-kira 65 peratus rakyatnya buta huruf terutamanya di kalangan wanita dan penduduk luar bandar.

Katanya, beliau berharap kerjasama erat dengan Malaysia terutama dalam bidang koperasi dapat mengatasi masalah itu apatah lagi kedua-dua negara merupakan negara Islam.

Dalam pada itu, Conde berkata, walaupun sistem koperasi di Guinea kurang berjaya namun ia telah dilaksanakan dalam bidang pertanian.

"Kami menyasarkan aktiviti koperasi dalam bidang pertanian khususnya di kawasan pedalaman dan memperhebatkannya selepas 2010," katanya.

Pada masa sama, menurut Conde, Guinea juga sedang berusaha memulihkan keyakinan pelabur terutama syarikat Malaysia untuk menanam modal di negara itu.

"Kami tahu ada syarikat Malaysia yang telah melabur di negara kami sebelum ini, namun mereka telah melalui pengalaman buruk sebelum 2010.

"Maka, kami ingin memberi keyakinan semula kepada mereka yang mana di bawah pemerintahan demokrasi sekarang, Guinea lebih selamat," katanya.

Sementara itu, Mohd. Ali berkata, Angkasa akan membantu Guinea melalui tiga produknya yang paling berjaya iaitu koperasi sekolah, koperasi kariah masjid dan skim potongan berjadual Angkasa.

Katanya, perbincangan lanjut akan diadakan bagi membolehkan Angkasa melaksanakan programnya di negara tersebut.

"Angkasa juga akan menghantar beberapa pegawai ke Guinea bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai bidang-bidang yang boleh kami terokai," katanya.

No comments:

Post a Comment