Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/tan-lebih-200-orang-mohon-buka-kr1m-1.61328 
Published: Jun 28, 2012
KUALA LUMPUR - Model ketiga pelaksanaan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 
yang memberi tawaran kepada orang ramai membuka dan mengelolakan operasi
 KR1M mendapat sambutan yang menggalakkan dengan menerima 201 
permohonan  apabila tawaran itu ditutup pada 31 Mac lepas, persidangan 
Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
 
 Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan 
Kepenggunaan(KPDNKK), Datuk Tan Lian Hoe berkata daripada jumlah itu 53 
permohonan telah disenarai pendek termasuk enam dari Sabah dan 14 dari 
Sarawak.
 
 Menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad (BN-Sipitang) ketika sesi soal jawab
 Tan berkata sejak dilancarkan Jun tahun lepas sambutan rakyat terhadap 
KR1M adalah amat baik.
 
 "Ini diterjemahkan melalui jualan sehari iaitu antara RM10,000 hingga 
RM12,000 setiap outlet dan nilai jualan harian tertinggi pernah dicatat 
melebihi RM40,000 oleh KR1M di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. Ini 
jelas membuktikan sambutan rakyat terhadap inisiatif yang diilhamkan 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
 
 Dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 22 Jun tahun lepas di Stesen LRT 
Kelana Jaya, KR1M yang diuruskan oleh Mydin Mohamed Holdings Berhad 
dengan kerjasama kerajaan menawarkan lebih 250 barangan keperluan harian
 pada harga yang berpatutan.
   
 Tan berkata sehingga kini, 33 KR1M telah beroperasi dan KPDNKK 
menyasarkan 52 kedai lagi akan dibuka di seluruh negara menjelang hujung
 tahun ini.
 
 Bagi memenuhi permintaan penduduk Sabah dan Sarawak beliau juga 
memaklumkan sebuah KR1M akan dibuka di Kota Padawan, Kuching, Sarawak 
dan Inanam di Sabah pada penghujung bulan ini.
 
 Tan juga memberi jaminan kerajaan akan sedaya upaya memastikan harga 
produk atau barangan yang dijual di KR1M di Sabah dan Sarawak adalah 
seragam dengan harga di KR1M di Semenanjung walaupun kos penghantaran 
barangan ke negeri itu adalah lebih tinggi.
 
 "Jadi, dalam hal ini disebabkan pihak KPDNKK ada menjalankan program 
penyeragaman harga, maka beberapa barangan ini boleh dimasukkan supaya 
harganya dapat dikekalkan serendah seberapa yang boleh," katanya.- 
Bernama
No comments:
Post a Comment