Sunday, June 17, 2012

Tekun - Salur RM2.11b

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SalurRM2_11b/Article/index_html

Published: Jun 16, 2012
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
bisnes@hmetro.com.my

SEBANYAK 215,608 peniaga kecil seluruh negara memperoleh nikmat apabila Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) mengeluarkan pinjaman sebanyak RM2.11 billion sejak penubuhannya kira-kira 13 tahun lalu hingga semalam.

Bantuan pinjaman disediakan itu bukan hanya bertujuan bagi meningkatkan modal pusingan dan memulakan perniagaan, malah mengelakkan peniaga kecil terjerat dengan hutang ceti haram atau along.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, di Perak saja sebanyak RM153.2 juta dikeluarkan untuk pinjaman kepada 17,028 usahawan Bumiputera dalam tempoh sama.
“Bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, Tekun sudah mengeluarkan pinjaman berjumlah RM206.7 juta kepada 14,338 usahawan di seluruh negara.

“Dalam tempoh itu juga, seramai 898 usahawan negeri Perak menerima pinjaman berjumlah RM13.2 juta. “Hari ini saja Tekun menyampaikan pinjaman sebanyak RM1.8 juta untuk 119 usahawan di Perak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Usahawan Tekun di Marina Island di Lumut, Perak semalam.

Seramai enam usahawan menerima Anugerah Usahawan Tekun Cemerlang dan menerima hadiah berupa sijil dan piala yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Zambry.

Kira-kira 1,000 usahawan Bumiputera hadir pada majlis itu.

Menurutnya, pinjaman Tekun turut bertujuan mengatasi kebergantungan segelintir peniaga dan ahli perniagaan terhadap golongan ceti haram atau along. “Kami tidak akan memberi pinjaman kepada individu bagi tujuan perniagaan sekiranya pemohon turut meminjam daripada along untuk tujuan peribadi.

“Bagaimanapun pinjaman Tekun boleh diberikan kepada pemohon yang sudah lama berkecimpung dalam bidang ini dan memerlukan suntikan tambahan dalam jumlah besar,” katanya.

Berhubung isu bayaran balik pinjaman, Abdul Rahim berkata, keadaan memuaskan berasaskan tujuh daripada 10 peminjam berjaya melunaskan ansuran bulanan manakala selebihnya diselubungi masalah sendiri.

Namun, katanya, Tekun sentiasa membuka pintu rundingan kepada peminjam supaya mereka tidak merasa tertekan bagi membayar kembali pinjaman itu.

Katanya, beliau sering mengulangi peringatan bahawa Tekun diwujudkan untuk membantu usahawan kecil Bumiputera agar berjaya, dan pada masa sama Tekun membantu usahawan kecil bangsa lain termasuk Cina dan India melalui tabung khas.

“Menurut rekod, Tekun berjaya memberi pinjaman sebanyak RM311 juta tahun lalu sedangkan peruntukan daripada kerajaan sebanyak RM120 juta.

“Ini berlaku disebabkan ansuran pinjaman diterima daripada usahawan yang membolehkan jumlah terbabit dapat dikeluarkan semula kepada peminjam,” katanya.

No comments:

Post a Comment