Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/hampir-90-peratus-koperasi-bergerak-aktif-1.60916 
Published: Jun 26, 2012
 KUALA LUMPUR - Hampir 90 peratus atau 8,385 daripada 9,516 koperasi 
yang didaftarkan di negara ini bergerak aktif sehingga ada yang mampu 
membayar dividen kepada anggotanya,  persidangan Dewan Rakyat diberitahu
 hari ini.
 Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, 
Datuk Rohani Abdul Karim berkata sehingga Mei lepas sebanyak 498 
koperasi telahpun membayar dividen kepada anggotanya bagi tahun kewangan
 2011.
 "Masih ada lagi koperasi yang belum menyelesaikan laporan audit untuk 
tahun lepas, dijangka selesai melakukan pengauditan bulan depan. Bila 
audit selesai, bilangan koperasi yang  bayar dividen dijangka 
bertambah," katanya.
 Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Mohd Nor Othman 
(BN-Hulu Terengganu) yang bertanya tentang bilangan koperasi yang 
berdaftar dan aktif di negara ini dan juga bilangan koperasi yang 
memberikan dividen pada tahun lepas.
 Menjawab soalan tambahan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) beliau 
berkata daripada jumlah koperasi didaftarkan, 92 peratus daripadanya 
berada dalam kategori koperasi kecil dan mikro yang mempunyai perolehan 
kurang RM1 juta setahun.
 
 Katanya enam peratus terdiri daripada kumpulan koperasi sederhana yang 
memperolehi perolehan lebih RM1 juta dan kurang RM5 juta manakala dua 
peratus terdiri daripada kumpulan koperasi besar dengan perolehan lebih 
RM5 juta setahun.
 Rohani berkata Bank Rakyat merupakan koperasi paling berjaya setakat ini dengan pulangan dividen kira-kira 20 peratus setahun.
 "Kita harap dapat mencapai sasaran koperasi menyumbang lima peratus 
daripada KDNK (Keluaran Dalam negara Kasar) bagi tahun depan dan 10 
peratus menjelang 2020," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment