Friday, June 29, 2012

Pos Malaysia tawar pajak gadai Islam

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/pos-malaysia-tawar-pajak-gadai-islam-1.61448

Published: Jun 28, 2012

emas
Sekadar gambar hiasan.
 
KUALA LUMPUR - Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) dan Bank Muamalat Malaysia Bhd (BMMB) hari ini menandatangani perjanjian perkongsian strategik untuk menawarkan perkhidmatan pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) kepada orang ramai di cawangan-cawangan Pos Malaysia yang terpilih di seluruh negara.

Ketua Eksekutifnya, Khalid Abdol Rahman, berkata sebagai permulaan, perkhidmatan ArRahnu@POS akan beroperasi di Pos Malaysia Bandar Baru Bangi dan Pejabat Pos Besar Kuala Terengganu bulan depan.

Perkhidmatan ini akan diperluas beransur-ansur ke 50 cawangan Pos Malaysia dalam tempoh setahun, katanya, sambil menambah bahawa sistem pajak gadai Islam akan diuruskan oleh anak syarikat Pos Malaysia, Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd.

"Memandangkan permintaan yang semakin meningkat bagi perkhidmatan Ar-Rahnu, cawangan-cawangan Pos Malaysia yang terletak di lokasi strategik akan memberikan kemudahan kepada pelanggan untuk menjalankan transaksi Ar-Rahnu," katanya dalam satu kenyataan.

Kewujudan ArRahnu@POS akan meningkatkan tawaran produk di cawangan-cawangan Pos Malaysia selain menawarkan kemudahan kredit mikro alternatif kepada orang ramai dan usahawan kecil yang mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan daripada bank, katanya.

Sementara itu, kenyataan itu juga menyebut bahawa Koperasi Pos Nasional Bhd telah memberikan hak pajak gadai Islamnya kepada Pos Ar-Rahnu Sdn Bhd di bawah satu perjanjian kerjasama antara kedua-dua pihak.

Di bawah perjanjian itu, perkhidmatan Ar-Rahnu akan disediakan di cawangan-cawangan Pos Malaysia selama tiga tahun.- Bernama 

No comments:

Post a Comment