Wednesday, June 27, 2012

Perolehan perniagaan RM700 juta

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0626&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_02.htm

Published: Jun 26, 2012
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my

Adnan Yaakob menyampaikan replika cek kepada Koperasi Sekolah 
Menengah Kebangsaan Jengka 10 Maran Pahang Berhad sempena 
Sambutan Hari Koperasi Negara 2012 peringkat negeri di Maran, kelmarin.

KUALA KRAU 25 Jun - Koperasi di negeri ini diyakini mampu mencatat perolehan perniagaan sebanyak RM700 juta pada tahun ini seperti yang telah disasarkan sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, pada tahun lalu jumlah perolehan yang dicatatkan oleh 683 buah koperasi di negeri ini ialah RM658 juta.

Menurut beliau, dari segi jumlah keanggotaan pula, seramai 283,652 orang telah menganggotai 683 koperasi di negeri ini dengan aset bernilai RM899 juta sehingga akhir tahun lalu.

''Jumlah itu didapati meningkat berbanding tahun sebelum ini, sekali gus menunjukkan sambutan masyarakat terhadap konsep koperasi semakin menggalakkan apabila proses penubuhannya dipermudahkan.

''Dulu syarat menubuhkan koperasi perlu mempunyai minimum seramai 100 ahli tetapi sekarang dengan 50 orang sahaja dan koperasi juga boleh ditubuhkan walaupun dari kalangan ahli keluarga,'' katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Sambutan Hari Koperasi Negara 2012 peringkat negeri di Dewan Balora Mastika Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said; Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Timbalan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Sektor Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKMM), Jafar Muhayat.

Tambah Adnan, sambutan Hari Koperasi tahun ini bertemakan 'Koperasi Penggerak Transformasi Negara' bermakna mereka perlu bergerak secara holistik bagi menjana peluang perniagaan.

''Tambahan pula ketika ini peluang perniagaan terbuka luas dalam sektor pertanian, ternakan, perkhidmatan dan perindustrian yang boleh direbut melalui koperasi,'' ujarnya.

No comments:

Post a Comment