Thursday, July 25, 2013

RM111.4 Juta Program 1AZAM Bantu 7,500 Keluarga Miskin Di Sarawak

KUCHING, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak diperuntukkan sejumlah RM111.4 juta untuk membantu seramai 7,500 orang ketua isi rumah (KIR) miskin di negeri ini, di bawah program 1AZAM, sehingga hujung tahun.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=965897
Published: July 25, 2013

Menterinya, Datuk Fatimah Abdullah berkata dari Januari sehingga kini seramai 2,314 orang KIR atau 30.87 peratus dari jumlah sasaran itu telah menerima bantuan.

"Kita masih ada beberapa bulan lagi untuk mencapai sasaran ini dan bantuan akan disalurkan secara berperingkat," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kumpulan Fokus Pembasmian Kemiskinan Negeri di sini.

Menurutnya bantuan di bawah program ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu KIR miskin yang berdaftar di bawah Sistem Bank Data Nasional (eKasih) sejak 2010 yang kini berjumlah 92,570 orang di negeri ini.

"Sehingga semalam (23 Julai), penerima bantuan 1Azam yang sudah terkeluar dari status KIR miskin berikutan peningkatan pendapatan mereka ialah seramai 2,166 orang," katanya.

Fatimah berkata jumlah agensi pelaksana program 1Azam ini turut ditambah daripada 16 buah kepada 28 bagi mempercepatkan proses penyaluran bantuan dengan bermatlamat dapat memberikan impak berterusan kepada penerima untuk mengekalkan penjanaan pendapatan.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment