Tuesday, July 2, 2013

Kawasan baharu IKS diwujudkan - Seremban

SEREMBAN 1 Julai - Kerajaan akan mencari tapak baharu bagi mewujudkan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) di negeri ini untuk memenuhi permintaan tinggi dalam kalangan rakyat.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130702/ws_02/Kawasan-baharu-IKS-diwujudkan
Published: July 02, 2013

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, lokasinya pula tidak lagi dalam kawasan pekan mahupun bandar, sebalik lebih hampir kepada laluan utama bagi memudahkan urusan perdagangan.

"Dahulu kita wujudkan IKS di kawasan Senawang dekat Seremban. Itu pun sudah habis. Kita lihat IKS tidak lagi sesuai dibangunkan dalam kawasan bandar kerana faktor logistik," katanya kepada pemberita selepas program bersama pemimpin di Ladang Sagga, Rantau dekat sini hari ini.

Kata Mohamad, salah satu lokasi yang sesuai adalah berhampiran susur masuk ke Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, yang mana tidak menjejaskan aliran trafik dalam kawasan bandar Seremban.

"Jika kita tumpukan semua di bandar Seremban, akan mengakibatkan kesesakan teruk, apatah lagi lori keluar masuk. Bagaimanapun, pengumuman lanjut tentangnya akan dibuat kelak selepas kajian terperinci dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, permasalahan rakyat, khususnya melibatkan masyarakat India akan diselesaikan mengikut keutamaan.

"Saya ingin nyatakan di sini bahawa banyak isu yang berbangkit melibatkan masyarakat India telah diselesaikan, sama ada di peringkat kerajaan negeri mahupun Persekutuan terutama berkaitan tanah, rumah ibadat serta sekolah.

"Ini menunjukkan usaha yang dilakukan oleh pemimpin akar umbi untuk mensejahterakan rakyat tidak pernah terhenti, malah itulah yang dituntut dalam Aku Janji Barisan Nasional (BN) sejak dahulu lagi," katanya.

Tambah beliau, memang menjadi hasrat kerajaan negeri menjadikan kecemerlangan pendidikan sebagai keutamaan dan tumpuan akan diberikan dengan lebih serius untuk meningkatkan keputusan dalam kalangan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam negeri ini.

"Kita amat memerlukan juga sokongan masyarakat dan ibu bapa dalam memastikan kejayaan pendidikan ini. Saya optimis akan lahir lebih ramai pelajar cemerlang dari SJKT dalam peperiksaan tahun ini dan pada masa hadapan," katanya.

No comments:

Post a Comment