Monday, May 6, 2013

KOPSYA penuh inovasi

Sektor koperasi penting untuk dipertingkatkan supaya ia memberi sumbangan terhadap sosio ekonomi negara dan kesedaran umum mengenai koperasi dan bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada anggota perlu ditekankan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KOPSYApenuhinovasi/Article/index_html
Published: May 06, 2013

Gerakan koperasi kini juga memikul tanggungjawab dalam agenda transformasi negara dan perlu membuat perubahan. Koperasi tidak boleh lagi beroperasi secara konvensional tetapi perlu lebih kreatif dan berinovasi untuk bersaing dalam dunia perniagaan yang berdaya saing.

Ikuti temubual Wartawan Bisnes Metro, Sri Ayu Kartikawati Amri bersama Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum mengenai hala tuju penubuhan Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Bhd (KOPSYA) untuk membangunkan lagi sektor koperasi negara.

APAKAH objektif penubuhan KOPSYA?

KOPSYA didaftarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) pada 7 Julai 2011 dan menawarkan kepada anggota koperasi produk inovatif, istimewa dan berupaya menjana keuntungan.

Ia juga dirujuk sebagai produk serta perkhidmatan inovatif terbaru di dalam pengumpulan sumber untuk menyokong, saling melengkapi koperasi anggota sehingga ke peringkat runcit, meliputi pembiayaan mikro.

Paling penting KOPSYA menjadi peneraju aplikasi teknologi terkini dalam urusan pembayaran dan penyelesaian, melangkaui industri koperasi untuk menjadi penggerak yang diiktiraf dalam sistem kewangan negara.

Bagaimanakah KOPSYA dapat membantu dalam transformasi negara?

KOPSYA adalah asas khidmat yang kukuh, koperasi kewangan Islam yang mesra kemanusiaan, menampilkan nilai berdikari, tanggungjawab kendiri, demokrasi, kesaksamaan, keadilan dan menjaga kebajikan pihak lain melalui khidmat kewangan.

Malah, ia menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan pada harga menarik, menepati keperluan dan cita rasa pelanggan dan akhirnya meninggalkan impak yang bermakna pada industri serta pasaran.

Adakah penubuhan KOPSYA mendapat sambutan daripada koperasi dan anggota?

Penubuhan KOPSYA mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada koperasi seluruh negara dan ia mula mendapat perhatian oleh koperasi bersaiz besar.

Setakat ini, terdapat 500 koperasi yang berdaftar menjadi ahli KOPSYA dengan jumlah saham terkumpul sebanyak RM25 juta dan Angkasa menyasarkan 2,000 koperasi akan turut serta menjelang akhir tahun ini.

Angkasa juga komited bagi mencapai sasaran saham terkumpul minimum RM350 juta bagi melayakkan KOPSYA diiktiraf sebagai bank koperasi sekali gus mengukuhkan lagi gerakan koperasi dalam sektor kewangan dan kredit.

Apakah kelebihan KOPSYA bagi sektor koperasi di negara ini?

Penubuhan utamanya adalah untuk memacu pergerakan koperasi negara sekali gus menjadi rakan serta sumber biaya untuk sektor koperasi supaya gerakan koperasi lebih terserlah dan dihormati.

Paling penting, melalui KOPSYA ia memperkasakan semua koperasi terutama koperasi kecil dan mengurangkan kebergantungan terhadap bank komersial serta semua produk serta perkhidmatan yang ditawarkan menjunjung sistem kewangan syariah dalam prinsip koperasi.

Selain itu, terdapat lapan produk ditawarkan kepada anggota koperasi yang menyertai KOSPYA di mana ia menampilkan pembiayaan perumahan iaitu produk khas yang direka bentuk bagi membolehkan anggota memiliki rumah idaman dengan menggunakan kaedah sewa pajakan Al-Ijarah dan Al-Bai’ yang sangat fleksibel.

Apakah syarat untuk menyertai KOPSYA?

KOPSYA adalah yang pertama di negara ini dan 100 peratus untuk koperasi serta syarat penyertaan bagi koperasi adalah mereka perlu mendaftar di bawah Angkasa terlebih dulu sebelum menjadi ahli KOPSYA dan dari segi saham minimum RM1,000 bagi koperasi kecil dan sehingga RM15 juta maksimum saham.

Antara produk dan perkhidmatan yang ditawarkan menerusi KOPSYA adalah pembiayaan peribadi (Al Tawarruq), perumahan (Musyarakah Mutanaqisah), pajak gadai (Al Rahn), simpanan dan pelaburan (Al Tawreed), pembiayaan koperasi (Al Tijari), skim deposit syariah akaun pelaburan Mudharabah Al Tathmir dan Al Wafi serta perkhidmatan tukaran wang Al-Sarf. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.kopsya.coop.

No comments:

Post a Comment