Sunday, May 19, 2013

Koop-Mart Sasar Perolehan RM40 Bilion Menjelang 2020

BESUT, 18 Mei (Bernama) - Kedai koperasi Koop- Mart yang baru diperkenalkan dua tahun lalu menyasarkan perolehan RM40 bilion menjelang 2020 melalui 250 buah rangkaian yang diwujudkan di seluruh negara sekarang.

Source from (Sinar Online): http://www.sinarharian.com.my/bisnes/koop-mart-sasar-rm40b-1.161580
Published: May 19, 2013

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/bu/newsbusiness.php?id=950573
Published: May 19, 2013
Suruhanjaya Koperasi Malaysia
Suruhanjaya Koperasi Malaysia

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia Datuk Nik Ali Mat Yunus berkata langkah itu sesuai dengan dasar koperasi negara yang mahu memperhebatkan sektor peruncitan dan pemborongan yang merupakan salah satu daripada lima dasar yang sedang diberikan penekanan oleh SKM sekarang.

Katanya pelbagai tambah nilai sedang dilakukan di Koop Mart yang termasuk melaksanakan penjualan produk dengan harga yang kompetitif di samping kualiti barangan yang dijual setanding dengan syarikat-syarikat pasaraya yang ternama di seluruh negara.

"SKM kini sedang melaksanakan tanggungjawab sosial dari segi harga dan keperluan kepada pengguna secara berperingkat supaya dapat menyaingi syarikat pasaraya gergasi dalam negara", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Wisma Koperasi Guru-Guru Melayu Besut Berhad dan perasmian Kedai Koop-Mart Koperasi Guru-Guru Besut Berhad di Kampung Nyiur Tujuh di sini Sabtu.

Pada majlis itu juga, beliau menyampaikan Surat Pendaftaran Koperasi Media Terengganu (KOMEDIA) kepada Presiden Kelab Wartawan Terengganu Ayob Mamat yang merupakan koperasi yang dianggotai wartawan yang pertama ditubuhkan dalam negara.

Buat masa ini, Nik Ali berkata terdapat lebih tujuh juta orang menjadi ahli 10,000 koperasi di seluruh negara yang perolehannya mencecah RM3.2 bilion.

Beliau berkata usaha promosi sedang dibuat bagi memastikan kesemua tujuh juta ahli koperasi di seluruh negara membeli barangan keperluan harian mereka di Koop-Mart.

Selain itu, katanya langkah juga akan diatur bagi mewujudkan koperasi di kalangan para belia di seluruh negara melalui SKM negeri-negeri.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment