Sunday, May 19, 2013

95 Peratus Daripada 24,778 Peserta E-Kasih Berjaya Tingkat Pendapatan - Fatimah

KUCHING, 17 Mei - Sebanyak 24,778 orang yang berdaftar dengan e-Kasih di Sarawak telah dikeluarkan daripada sistem pangkalan data keluarga miskin itu berikutan 95 peratus daripada mereka telah mencapai peningkatan pendapatan isi rumah.

Source from (Bernama): http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=950439
Published: May 19, 2013

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata lima peratus lagi daripada jumlah itu dikeluarkan daripada daftar kerana telah mendapat bantuan sara hidup, telah berkahwin, meninggal dunia dan ataupun tidak dapat dikesan.

"Sehingga hari ini, jumlah pendaftaran (peserta) dalam sistem e-Kasih di Sarawak ialah 89,920. Daripada jumlah itu 22,557 adalah miskin tegar, 27,341 miskin, dan 15,093 mudah miskin," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat 'Focus Group' peringkat negeri, di sini, Jumaat.

Sementara itu, Fatimah berkata Program Bergerak 1Azam di Sarawak merupakan satu lagi inisiatif berkesan dalam usaha kerajaan membantu mengesan penduduk miskin di negeri ini.

Beliau berkata program itu dilihat begitu berkesan dengan mengambil kira kedudukan geografi negeri ini dengan tumpuan diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman.

"Program dilaksanakan melalui lawatan pegawai kerajaan, termasuk dari Jabatan Pelajaran, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan dan Jabatan Pertanian sejak program tersebut bermula Mac lalu.

"Penduduk yang layak di bawah program 1Azam adalah dari Ulu Lemanak di Lubuk Antu, Tusuk Sebayang di Daro, Ulu Sangan di Tatau, Ulu Mujuk, Julau dan Beliong di Asajaya" katanya sambil menambah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan pihaknya pada tahun ini adalah untuk membantu 7,500 peserta menerusi program 1Azam. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment