Wednesday, May 8, 2013

Bantu peniaga muda

Kuala Lumpur: Persatuan Penjaja & Pekedai Bumiputra Wilayah Persekutuan (PPPBWP), menyeru kerajaan supaya menambah lebih banyak pinjaman mudah kepada peniaga kecil terutama golongan belia yang ingin menceburi bidang perniagaan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bantupeniagamuda/Article/index_html
Published: May 08, 2013

Yang Dipertuanya, Mithlan DSamijoo berkata, sebelum ini golongan muda lebih berminat makan gaji, namun sekarang pihaknya melihat peningkatan minat golongan itu menjadi usahawan.

Katanya, sekitar 30 peratus daripada ahli PPPBWP adalah orang muda dan jika kerajaan memberi ruang secukupnya, pihaknya yakin jumlah itu berkembang sekali gus melahirkan usahawan muda berdaya saing.

“Sudah tiba masa golongan muda ini diberi perhatian terutama dalam memperkembangkan ekonomi perniagaan mereka dan memanfaatkan idea segar yang dilontarkan. Pihak terbabit juga bukan saja perlu memberi kemudahan pembiayaan, tetapi juga memberi latihan bidang berkaitan.

“Malah, kami lihat mereka berlumba-lumba untuk membuka perniagaan walaupun bermula secara kecilan. Ini kerana bidang yang paling mudah diceburi adalah berniaga secara kecilan di mana modal dan risikonya lebih rendah,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, PPPBWP juga sedia membantu kerajaan untuk memberi latihan kepada golongan muda yang ingin berniaga dan sehingga sekarang juga persatuan sudah menyediakan banyak ruangan perniagaan kepada mereka untuk menjadi usahawan.

Mithlan berkata, selain itu pihaknya turut meminta supaya kerajaan negeri membuka luas peluang kepada golongan muda ini terutama dalam pemberian lesen berniaga.

“Kerajaan negeri harus seiring dengan kerajaan pusat kerana banyak di luar sana yang memerlukan lesen untuk berniaga tetapi hanya segelintir yang dapat, sebagai contoh jika tiba bulan Ramadan ramai golongan ini memohon untuk mendapat lesen berniaga bazar Ramadan tetapi tempat terhad.

“Mereka ini masih terumbang-ambing bagi memulakan perniagaan, malah ada antara mereka masih tidak tahu agensi berkaitan yang boleh memberi mikro kredit. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menunjukkan jalan dan garis panduan kepada golongan muda yang ingin berniaga,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap agensi kerajaan lain turut memberi peluang kepada golongan ini dan menjalin kerjasama dengan badan atau persatuan lain bagi memberi platform yang lebih menyeluruh.

No comments:

Post a Comment