Friday, May 3, 2013

Unjur tumbuh 20 peratus - MFA

Persatuan Francais Malaysia (MFA) yakin industri francais mikro akan meningkat antara 15 dan 20 peratus tahun ini yang dinilai mengikut jumlah francaisor, francaisi, kewangan dan cawangan.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Unjurtumbuh20peratus/Article/index_html
Published: May 03, 2013

Presidennya, Abdul Malik Abdullah berkata, francais mikro yang diperkenalkan pada 2011 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sekarang ini sudah pun mewujudkan 61 jenama (francaisor) di bawah segmen itu dengan jumlah 221 francaisi di seluruh negara.

Katanya, objektif utama francais mikro adalah untuk memberi peluang kepada golongan belia, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan mereka yang berpendapatan kecil serta sederhana untuk menceburi perniagaan francais dengan modal lebih rendah iaitu di bawah RM50,000.

“KPDNKK juga memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk pembiayaan kepada bakal usahawan francais mikro dan setakat ini sudah RM6 juta disalurkan. Malah, kami percaya melalui pembiayaan ini juga akan memudahkan kami mencapai peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus bagi industri ini “Lebih menarik, pembiayaan ini boleh didapatkan menerusi Perbadanan Nasional Berhad tanpa perlu cagaran atau penjamin dengan pembiayaan RM10,000 hingga RM50,000,” katanya kepada Bisnes Metro di sini.

Menurutnya, sebelum ini tidak ramai yang berminat untuk menceburi bidang francais ini kerana beranggapan modal terlalu besar dan melalui platform francais mikro yang diperkenalkan, ia sekali gus membolehkan orang ramai menceburi perniagaan dengan modal lebih rendah dan mendapat bimbingan daripada francaisor.

Abdul Malik berkata, pihaknya menganggap 2013 sebagai tahun francais kerana terdapat banyak program berkaitan industri ini akan dijalankan termasuk Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat utama badan induk francais antarabangsa iaitu Mesyuarat Konsul Francais Dunia (WFC) dan Penggabungan Francais Asia Pasifik (APFC) membabitkan penyertaan 45 negara.

Beliau berkata, pihaknya yakin francais mikro ini akan terus mendapat permintaan sekali gus mampu menyumbang kepada ekonomi negara selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan francais mikro boleh melayari www.pns.com.my. Selain itu, pemohon perlu mempunyai surat tawaran daripada francaisor tempatan, tidak diisytihar muflis, tidak disenarai hitam oleh institusi kewangan dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

No comments:

Post a Comment