Monday, October 8, 2012

Bank Persatuan buka cawangan ke-14 di Melaka

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121006/ws_03/Bank-Persatuan-buka-cawangan-ke-14-di-Melaka

Published: October 07, 2012

MELAKA 5 Okt. - Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad atau lebih dikenali Bank Persatuan yang diasaskan sejak 62 tahun lalu melebarkan sayap dengan membuka sebuah lagi cawangannya di negeri ini, menjadikan 14 buah cawangan seluruh negara.

Pengerusinya, Jamal Abdullah berkata, selepas melalui beberapa proses transformasi sejak penubuhannya, Bank Persatuan kini dilihat sebagai sebuah institusi yang mempunyai daya saing yang tinggi setaraf dengan institusi kewangan lain.
Menurutnya, sehingga kini, sebanyak 407 buah koperasi seluruh negara telah menganggotai Bank Persatuan dengan jumlah ahli seramai 60,000 orang.

"Sehingga kini modal syer berbayar telah mencapai RM380 juta dan dengan perkembangan yang menggalakkan dari segi pencapaian prestasi kewangan dan aktiviti perniagaan yang dijalankan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyatakan sokongan agar bank ini dapat mencapai status sebuah 'co-opbank' tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan Bank Persatuan Cawangan Melaka di Ayer Keroh di sini semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam menyempurnakan perasmian itu.
Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad; Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Md. Yusof Samsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Persatuan, Shamsudin Md. Yusoff.

Jamal berkata, dalam tempoh terdekat ini, dua lagi cawangan bank berkenaan akan dibuka di Johor dan Terengganu selepas mendapat kelulusan daripada SKM.
Bank Persatuan yang beribu pejabat di Butterworth, Pulau Pinang itu kini mempunyai empat cawangannya di Pulau Pinang, Kedah (dua), Perak (dua) dan masing-masing sebuah di Perlis, Selangor, Kelantan, Pahang, Kuala Lumpur dan terbaharu di Melaka.

Sementara itu, Mohd. Ali menyambut baik pembukaan bank berkenaan yang dilihat dapat membantu kerajaan negeri membangunkan negeri ini serta memberi kesempatan kepada rakyat meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka dengan wujudnya peluang baharu dalam perniagaan dan pelaburan.
Dalam majlis itu, Bank Persatuan turut menyumbangkan sebuah van jenazah kepada Masjid Nurul Hidayah di Batu Berendam sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya pertama di negeri ini.

No comments:

Post a Comment