Friday, October 12, 2012

Lombong emas lonjak ekonomi

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121011/wp_01/Lombong-emas-lonjak-ekonomi

Published: October 11, 2012

Kawasan lombong emas diusahakan oleh Selinsing Gold Mine Manager di Bukit Selinsing dekat Sungai Koyan, Lipis. 
 
LIPIS 10 Okt. - Aktiviti perlombongan terutama emas dan bijih besi kini menjadi antara sumber pendapatan utama bagi Pahang berikutan penemuan beberapa lokasi yang mengandungi mineral berkenaan.

Bagi perlombongan emas sahaja, terdapat empat syarikat yang beroperasi iaitu dua di daerah Lipis dan satu masing-masing di Raub dan Rompin manakala perlombongan bijih besi pula terdapat di Maran dan Kuantan.
Selinsing Gold Mine Manager (SGMM) Sdn. Bhd., adalah salah satu syarikat melombong emas yang kini beroperasi di Bukit Selinsing dekat Sungai Koyan di sini sejak empat tahun lalu meliputi kawasan seluas 600 hektar untuk tempoh 10 tahun.

Pengarah Urusan SGMM, Zaidi Harun memberitahu, aktiviti melombong emas oleh syarikat itu telah memberikan peluang pekerjaan kepada 229 penduduk tempatan dan turut menyumbang hasil kepada kerajaan negeri.
Katanya, loji pemprosesan emas SGMM merupakan loji moden yang kedua selepas lombong emas di Penjom dan dijangka memberikan impak besar kepada pembangunan ekonomi daerah Lipis.
''Dari segi hasilnya pula, SGMM merupakan pengeluar emas terbanyak iaitu dua tan metrik setahun daripada hasil pengeluaran keseluruhan emas 3.5 tan metrik oleh beberapa syarikat yang beroperasi di negara ini.

''Sebenarnya lombong emas Selinsing telah dibangunkan pada pertengahan tahun 90-an tetapi menghadapi masalah perundangan dan status tanah sehingga menyebabkan pembangunannya terhenti untuk tempoh lebih 10 tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri kemudiannya berjaya menyelesaikan masalah tersebut dan menawarkan kerja-kerja perlombongan kepada Monument Mining Ltd., pada 2007.

Monument Mining Ltd. adalah syarikat menjalankan aktiviti perlombongan yang disenaraikan di Bursa Saham Toronto, Kanada dan Bursa Saham Frankfurt, Jerman.
Selepas itu kerja-kerja permulaan melombong emas seperti eksplorasi dan membangunkan loji rawatan emas serta pejabat pentadbiran dijalankan oleh SGMM iaitu anak syarikat Able Retun Sdn. Bhd., iaitu syarikat subsidi Monument Mining Ltd.
''Pengeluaran kami bermula pada 2009 dengan pelaburan RM150 juta dan mampu menghasilkan pengeluaran 566.7 kilogram emas.

''Pada tahun berikutnya, SGMM telah berjaya meningkatkan hasil pengeluaran emas seratus peratus kepada 1,133 kilogram setelah menambahkan pelaburan RM50 juta lagi," katanya.
Pada tahun yang sama katanya, syarikat berkenaan telah menyumbangkan RM4.3 juta dalam bentuk royalti lima peratus kepada kerajaan negeri.
Selain itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang juga mempunyai pegangan kepentingan dalam SGMM kerana tanah-tanah lombong tersebut adalah milik agensi kerajaan itu.
Menurut Zaidi, SGMM akan berusaha untuk meningkatkan pengeluaran kepada 2,834 kilogram dalam tempoh beberapa tahun akan datang yang meliputi kawasan operasi seluas 8,000 hektar yang merangkumi kawasan seluas 14 kilometer persegi.

Beliau yang berpengalaman dalam bidang geologi dan eksplorasi telah bekerja selama 15 tahun dalam industri perlombongan antarabangsa memberi jaminan operasi cari gali emas di kawsan berkenaan tidak menjejaskan alam sekitar dan kawasan tadahan air.
Proses mengasingkan emas menggunakan beberapa kaedah, antaranya ialah teknologi graviti atau bahan kimia sianida setelah tanah yang dikisar dan dihancurkan sehingga halus.
Beliau memberitahu, menerusi kaedah graviti, emas mudah diperoleh sehingga 60 peratus dan bakinya 40 peratus lagi menggunakan bahan pelarut sianida.

Tambahnya, sianida bukan bahan yang berbahaya seperti yang disangkakan oleh banyak pihak kerana ia selamat dan mesra alam.
Malah sianida banyak digunakan oleh syarikat lombong emas di seluruh dunia dan sehingga kini belum ada lagi para pekerja SGMM dijangkiti kesan yang boleh membawa penyakit berbahaya seperti penyakit kulit dan sebagainya.
Menurut Zaidi, syarikat berkenaan turut menitikberatkan soal keselamatan para pekerjanya dengan menghantar mereka membuat pemeriksaan kesihatan di klinik yang berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Kementerian Sumber Manusia setiap tahun.

Malah kata beliau, operasi SGMM sentiasa dipantau setiap hari dan juga secara berkala bagi mengumpul segala data berkaitan dengan pencemaran alam sekitar oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
''Usaha eksplorasi dan cari gali emas emas di negara ini adalah sukar berbanding negara-negara pengeluar utama emas dunia seperti China, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Australia.
''Di negara-negara berkenaan emas mudah ditemui kerana bentuk muka bumi mereka yang terdedah berbanding di negara kita yang diliputi tumbuhan hijau yang memerlukan masa dan perbelanjaan besar sebelum menemui bahan galian tersebut," katanya.
Jongkong emas yang dihasilkan itu bukan emas tulen 99.9 peratus tetapi perlu melalui satu lagi proses pengasingan yang dijalankan oleh sebuah agensi lain yang terdapat di negara-negara pengeluar utama emas.

SGMM kata beliau, menghantar emas untuk melalui proses tersebut ke Australia kerana kosnya jauh lebih murah berbanding proses pengasingan itu dilakukan sendiri.
Sementara itu, kerajaan negeri menerima royalti sebanyak RM130 juta setahun atau lima peratus setahun hasil daripada perlombongan emas daripada pendapatan kasar empat syarikat yang beroperasi di negeri ini.

Aktiviti melombong emas berhadapan dengan risiko kerana ia memerlukan modal tinggi tetapi pulangannya tidak dapat dijangkakan kerana jumlah sebenar kandungan mineral itu yang terdapat dalam perut bumi sukar dipastikan.

No comments:

Post a Comment