Thursday, October 11, 2012

Bukan niaga emas

KUALA LUMPUR: Siasatan awal beberapa agensi penguatkuasaan yang menyerbu beberapa syarikat yang disyaki menjalankan skim pelaburan haram menggunakan emas baru-baru ini mendapati syarikat berkenaan menjalankan skim dipercayai tidak mampu bertahan lama bagi membuat pembayaran bulanan yang lumayan seperti dijanjikan kepada pelabur mereka.

Source from (Harian Metro): http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bukanniagaemas/Article/index_html
Published: October 11, 2012

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan semalam berkata, hasil pemantauan dan pemerhatian yang dibuat BNM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara, turut mendapati syarikat berkenaan tidak dapat membuat belian balik emas yang dijual kepada pelabur. “Skim ini tidak boleh bertahan lama memandangkan pulangan yang dijanjikan adalah bukan daripada urus niaga emas, tetapi diambil daripada wang pelaburan pelabur baharu. “Siasatan yang dibuat juga menunjukkan bahawa jumlah aset dan wang yang ada pada syarikat-syarikat terbabit adalah amat kecil dan tidak sejajar dengan jumlah wang yang dilaburkan pelabur skim ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sebelum serbuan bersama dibuat, syarikat-syarikat terbabit juga didapati melengahkan pemulangan emas mahupun pembayaran wang kepada pelabur dalam tempoh masa yang dijanjikan. “Semua ini adalah tanda-tanda awal kegagalan skim yang ditawarkan dan sekali gus mengakibatkan pelaburnya mengalami kerugian yang besar,” katanya.
Pada 1 dan 5 Oktober lalu, BNM dengan kerjasama PDRM serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melakukan serbuan bersama terhadap beberapa syarikat yang menawarkan skim pelaburan emas.

Syarikat yang diserbu adalah Genneva Malaysia Sdn Bhd, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd dan BNM turut membekukan aset serta akaun semua syarikat terbabit.

No comments:

Post a Comment