Sunday, October 28, 2012

Koperasi disaran sertai Kopsya

KUANTAN 27 Okt. - Semua koperasi digesa menyertai Koperasi Pembiayaan Syariah (Kopsya) dalam usaha memantapkan lagi perniagaan yang dijalankan oleh mereka ketika ini.

Source from (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20121028/ek_02/Koperasi-disaran-sertai-Kopsya
Published: October 28, 2012

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum (gambar) berkata, Kopsya yang kini mempunyai keahlian sebanyak 300 koperasi ditubuhkan sebagai gerakan untuk memperkasakan sesebuah koperasi sama ada berskala kecil atau besar.

Menurutnya, penyertaan itu secara tidak langsung membolehkan mereka mendapat pembiayaan RM100,000 hingga RM15 juta tanpa sebarang cagaran.

"Kopsya akan menjadi sebuah institusi perbankan koperasi pertama di Malaysia atau Koopbank yang hanya dianggotai oleh koperasi dengan menawarkan pembiayaan tanpa sebarang cagaran," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Kewangan Islam Dalam Gerakan Koperasi Peringkat Pahang di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Ali, gerakan koperasi akan lebih terserlah dengan adanya Kopsya atau Koopbank kerana setiap pembiayaan yang diberikan mengikut konsep musyarakah atau tanpa cagaran dan tanpa penjamin.

"Sekiranya sesebuah koperasi memerlukan RM100,000 atau RM1 juta, Kopsya akan berikan tetapi pengurusan perniagaan tersebut dipantau secara bersama termasuk keuntungan sehingga jumlah pinjaman dapat dipungut semula.

"Mereka (koperasi) boleh berniaga tanpa modal tetapi perlu berkelayakan mendapatkan jumlah yang diperlukan berdasarkan beberapa kriteria," jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Mohd. Ali, pihaknya kini dalam proses menyediakan draf untuk dihantar kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menjadi Koopbank pertama di Malaysia.
"Koopbank ini bukan seperti Bank Rakyat atau Bank Persatuan kerana keanggotaannya terdiri daripada koperasi dan bukannya ahli iaitu individu.

"Kita masih dalam proses sediakan undang-undang Koopbank dan akan dihantar kepada pihak SKM untuk tindakan seterusnya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment