Thursday, February 9, 2012

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mencatatkan Rekod tertinggi

Source From (Utusan Malaysia): http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0209&pub=Utusan_Malaysia&sec=Korporat&pg=ko_03.htm

Published: on 09 February 2012

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mencatatkan jumlah pendapatan belum audit yang tertinggi sejak penubuhannya bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2011 sebanyak RM862.7 juta, meningkat 14.8 peratus berbanding RM751.5 juta pada tahun lalu.

LTAT dalam kenyataannya di sini hari ini, berkata, pihaknya telah merekodkan peningkatan 5.3 peratus dalam jumlah aset kepada RM8 bilion berbanding RM7.1 bilion tahun lalu manakala kedudukan Akaun Caruman Ahli pula berjumlah RM7.1 bilion berbanding RM6.7 bilion sebelumnya.

Keputusan cemerlang ini membolehkan pencarum LTAT menerima dividen dan bonus keseluruhan sebanyak 15 peratus, yang membabitkan pembayaran berjumlah RM680.4 juta berbanding 14 peratus pada 2010.
Bayaran tersebut meliputi dividen sebanyak tujuh peratus, bonus satu peratus dan bonus khas tujuh peratus dalam bentuk unit amanah.

Dalam tempoh itu juga, LTAT telah membayar sejumlah RM705.7 juta kepada 6,115 ahli-ahli yang mengeluarkan caruman persaraan dan RM23.3 juta kepada 4,034 ahli-ahli yang layak untuk mengeluarkan caruman bagi tujuan membeli rumah kediaman pertama atau tanah untuk membina rumah kediaman di bawah Skim Pengeluaran Caruman Untuk Membeli Rumah.

Selain daripada itu, sebanyak RM6.5 juta telah dibayar kepada 267 ahli-ahli di bawah Skim Faedah Khairat Kematian dan Hilang Upaya.

Daripada jumlah tersebut, RM4.6 juta dibayar kepada 192 waris pencarum yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan di bawah Skim Faedah Khairat Kematian, manakala RM1.9 juta dibayar kepada 75 pencarum yang diberhentikan daripada perkhidmatan atas sebab-sebab kecacatan fikiran atau tubuh badan di bawah Skim Faedah Hilang Upaya.

No comments:

Post a Comment